Pelajar terpilih KADUN Seri Delima terima bantuan pakaian seragam sekolah

Admin

SERI DELIMA – Seramai 350 murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah terpilih dari Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seri Delima menerima bantuan pakaian seragam sekolah di sini.

Penyampaian tersebut disempurnakan dalam Majlis Penyerahan Pakaian Seragam Sekolah yang diadakan di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Bukit Gelugor pada 1 Disember lalu.

Program anjuran Pusat Khidmat Dewan Seri Undangan (DUN) Seri Delima bersama-sama JKKK setempat itu dihadiri kira-kira 500 hadirin yang terdiri daripada penerima berserta waris.

“Antara JKKK terlibat adalah JKKK Bukit Gelugor, JKKK Greenlane Heights, JKKK Island Glades, JKKK Lengkok Bawah, JKKK Jalan Aquarium serta JKKK Island Park.

“Setiap penerima masing-masing menerima baucar tunai bagi membolehkan mereka membeli pakaian seragam sekolah di kedai terpilih,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid kepada Buletin Mutiara.

Difahamkan, para pelajar berkaitan turut menerima kalendar tahun 2019 edisi istimewa.

Dalam pada itu, dalam program berasingan, Syerleena turut mengagihkan 5,000 unit kalendar 2019 khas buat penduduk di KADUN Seri Delima.

“Edaran dibuat di kawasan perumahan, pasar malam serta kedai kopi sekitar Seri Delima yang merupakan antara kawasan tumpuan umum.

“(Dan) program ini merupakan salah satu inisiatif Pusat Khidmat saya demi kemudahan penduduk di KADUN Seri Delima,” jelasnya yang turut mengambil berat akan kebajikan rakyat di sini.

Oleh : YUSNINA MOHAMAD YUSOF
Gambar : ADUN