GEORGE TOWN – Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif menyarankan agar golongan wanita mempelajari seni mempertahankan diri sebagai langkah melindungi diri daripada ancaman bahaya diserang.
Selain itu, beliau berpendapat bahawa ilmu berkaitan juga dapat mengurangkan kadar jenayah serang dalam masyarakat.
“Wanita perlu mempelajari seni bela diri bagi membolehkan mereka lebih bersedia dan tidak mudah panik apabila berhadapan dengan ancaman.
“Malah, kemahiran seni pertahanan diri ini juga dapat memastikan kesihatan tubuh badan yang sempurna selain mengelak daripada terjebak terutamanya para remaja dengan aktiviti yang tidak sihat,” ucapnya pada Program Demonstrasi Seni Bela Diri Kickboxing Wanita bersempena sambutan Penang Goes Orange 2017 dekat Taman Bandaraya di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Khidmat Kemasyarakatan MBPP, Rashidah Jalaludin.
Menurut Maimunah, program julung kali diadakan berkaitan adalah untuk memberi pendedahan kepada golongan wanita mengenai peri penting seni bela diri dan juga menggalakkan aktiviti sihat dalam kalangan masayarakat.
“Kita dapat lihat, pagi ini, semuanya memperagakan warna jingga terang yang menggambarkan masa depan bebas keganasan terhadap golongan wanita.
“Untuk pengetahuan umum, ‘Orange Day’ adalah hari ke-25 setiap bulan yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menyatukan sejagat bagi menghentikan keganasan terhadap wanita serta kanak-kanak.
“(Dan) tahun ini, MBPP dengan berbesar hati menyertai kempen ini dengan menjemput bekas juara dunia sebanyak lima kali dalam arena kickboxing, Michele Aboro dan Yilan Yuen dari Akedemi Aboro di Shanghai untuk turut serta dalam acara ini,” jelasnya.
Selain kickboxing, turut diadakan ‘Family Theme Chess in The Park’ di Laman Catur Taman Bandaraya yang turut disertai ahli keluarga yang datang beriadah di sini.
Bertemakan Hentikan Keganasan Terhadap Wanita, keduadua program ini dijayakan dengan kerjasama badan-badan bukan kerajaan (NGO) seperti Women Centre for Change (WCC), The National Council of Women Organizations, The Federation of Women Lawyers Penang, Persatuan Catur Pulau Pinang dan Kiwanis Penang Central.