Pelaksanaan projek demi keperluan dan kepentingan rakyat setempat – Kon Yeow

Admin

BUKIT TENGAH – Sambutan Syawal bukan hanya dapat mengikat ikatan silaturahim sedia terjalin, malah pada masa sama menyediakan platform menjelajah ke seluruh pelosok negeri ini bagi mendampingi rakyat sambil mendengar keluhan diutarakan.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu contohnya, pembinaan gelanggang futsal di Kampung Sekolah, Bukit Kechil Juru yang mana projek tersebut asalnya tidak dirancang dalam bajet semasa, namun hasil lawatan sebelum ini, cadangan penduduk setempat itu kini direalisasikan.

 

“Bukan di sini sahaja bahkan ada beberapa kawasan lain juga ada permintaan seperti ini, yang mana kita tidak masukkan dalam permohonan bajet, tetapi hasil permintaan serta keperluan komuniti setempat, maka saya arahkan sekiranya ada penjimatan (daripada bajet tahun kini), maka ia boleh dilaksanakan.

 

“Namun, jika tidak ada penjimatan, maka projek-projek dikemukakan akan dimasukkan dalam bajet akan datang yang mana kini pejabat Jabatan Kewangan Negeri, BPEN (Bahagian Perancang Ekonomi Negeri) dan pejabat daerah masing-masing perlu memastikan permohonan daripada wakil rakyat mahupun MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) yang tidak dapat dilaksanakan pada tahun ini dapat dijalankan pada tahun 2024,” ujarnya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri MPKK Kampung Sekolah dan Perasmian Dewan Orang Ramai Kampung Sekolah di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung dan barisan kepimpinan MPKK di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Bukit Tengah.


Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan dalam pada itu menzahirkan rasa gembira dengan prestasi ADUN setempat (Hsiao-Leung) dan MPKK seluruh Bukit Tengah sehingga kini.

 

“Mungkin ada permintaan-permintaan yang tidak dapat ditunaikan dalam tahun semasa, kita cuba masukkan dalam tahun-tahun akan datang supaya keutamaan dapat diberikan kepada projek-projek mendesak.

 

 

“Seterusnya, kita (Kerajaan Negeri) akan melaksanakan projek-projek kecil dan sederhana, selain itu, kita (Kerajaan Negeri) juga ada projek di peringkat negeri serta Persekutuan.

 

 

“Malah, dengan adanya Kerajaan Perpaduan dan beberapa pengumuman projek-projek berkaitan oleh Perdana Menteri serta menteri-menteri berkaitan, adalah diharapkan beberapa projek penting khususnya penyuraian trafik di kawasan industri serta Seberang Perai dapat juga dapat dilaksanakan oleh pihak Persekutuan,” katanya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : LAW SUUN TING

Video : AHMAD ADIL MUHAMAD