SEBAGAI pelan jangka panjang dalam mencari penyelesaian masalah kesesakan lalulintas di negeri ini, Kerajaan Negeri dengan kerjasama perunding lalulintas terkenal dunia kini dalam proses merangka satu pelan kajian, Pelan Induk Lalulintas Pulau Pinang atau Penang Transport Master Plan. Kajian yang dijalankan dalam tempoh 13 bulan (April 2011 – Mei 2012) tersebut adalah membabitkan cadangan pelebaran jalan, penggunaan pengangkutan awam seperti bas (termasuk mewujudkan hub-hub bas yang baru), pembinaan/penggunaan transit aliran ringan (LRT), monorail, Bas Rapit Transit (BRT), menjadikan jalan dua hala kepada satu hala dan lain-lain.
Dengan jadual kerja yang ketat, Buletin Mutiara (BM) berasa amat berterima kasih dengan peluang yang diberikan untuk menyelami secara lebih mendalam pelan berkenaan.
Ikuti temubual wartawan BM, ZULIANA AZIZ dan YEW SHU THENG serta jurugambar, MOHD. HAFIZ TAJUDIN bersama Pengarah Halcrow Consulting Inc., Dave Turner. Turut serta, Pemangku Timbalan Pengarah Kejuruteraan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), A. Rajendran di Komtar, di sini baru-baru ini.
BM : Boleh En. Turner terangkan apakah strategi-strategi yang termaktub di dalam Pelan Induk Lalulintas Pulau Pinang.
TURNER : Sebenarnya, pelan induk lalulintas ini meliputi seluruh Pulau Pinang iaitu bahagian pulau dan Seberang Perai. Kita sedang mengkaji unsur-unsur yang mungkin boleh digunapakai khusus untuk memperbaiki strategi pengangkutan jalan di negeri ini. Skop pelan induk ini sangat luas, termasuk membaikpulih dan menambah jalan-jalan sedia ada di Pulau Pinang.
Contoh cadangan yang dikemukakan dalam kajian berkenaan adalah menambah laluan utara-selatan yang baru di Seberang Perai, Lebuhraya Lingkaran Pulau Pinang (Penang Bypass Highway), laluan berkembar ke Batu Feringhi dan sebagainya.
Di samping itu, terdapat juga cadangan perancangan (untuk pertimbangan lanjut) bagi menambahbaik sistem pengangkutan awam termasuk memperkenalkan instratruktur pengangkutan awam yang baru seperti monorail, LRT dan MRT.
BM : Apakah yang dimaksudkan oleh En. Turner dengan menambahbaik sistem pengangkutan awam. Apakah impak yang bakal diterima oleh pengguna jalan raya di Pulau Pinang.
TURNER : Dengan penambahbaikan yang bakal dilakukan, orang ramai digalakkan untuk menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam berbanding menaiki kenderaan sendiri.
Hal ini sekaligus boleh mengurangkan masalah kesesakan jalan raya terutama di kawasan pulau yang semakin meruncing sejak 10 tahun lalu.
Pengangkutan awam sebenarnya lebih mudah, cepat dan selesa jika orang awam menyokong dan selalu menggunakan perkhidmatan yang disediakan sekaligus dapat mengurangkan kenderaan persendirian di jalan raya.
Namun, untuk menjayakan cadangan tersebut, cara pemikiran kita perlu diubah dengan sentiasa berfikir secara positif.
Setakat ini, peratus pengguna pengangkutan awam di Pulau Pinang adalah amat rendah iaitu di bawah 10 peratus berbanding dengan tahap peratusan penggunaan ideal iaitu 40 peratus.
BM : Adakah cadangan ini yang pertama di Malaysia. Sebelum ini, negara manakah yang telah melaksanakan rancangan yang sama.
TURNER : Jika di Pulau Pinang, ianya adalah yang pertama di Malaysia yang dikaji secara menyeluruh. Kuala Lumpur juga mempunyai sistem yang sama tetapi berbeza dari segi pengangkutan awam, di mana ia telahpun diimplementasikan dengan mewujudkan monorail dan LRT.
Sebelum ini, rancangan yang seakanakan sama telahpun dijalankan di negaranegara luar seperti Kanada, Selatan Asia, Sri Lanka, Colombia, Australia dan banyak lagi. Setiap negara mempunyai populasi yang berbeza. Ada negara besar, ada negara yang kecil populasinya. Oleh itu, pelan lalulintas juga berbeza-beza
mengikut kesesuaian negara masing-masing.
BM : Setakat ini, adakah inisiatif lain telah diambil untuk mengurangkan kesesakan jalan raya di Pulau Pinang. Adakah betul apa yang didakwa sesetengah pihak bahawa Kerajaan Negeri tidak melakukan sebarang pelan/ inisiatif untuk mengatasi masalah kesesakan lalulintas di negeri ini.
RAJENDRAN : Adalah tidak adil jika menyatakan bahawa Kerajaan Negeri tidak lakukan atau mengusahakan sebarang insiatif untuk mengatasi masalah kesesakan lalulintas di negeri ini. Banyak yang telah kita buat, malah, dalam tempoh secepat mungkin dan juga menggunakan peruntukan sendiri (peruntukan Kerajaan Negeri).
Sekiranya diteliti, Pulau Pinang lazimnya tiada rangkaian lebuhraya sendiri. Memang kita (Pulau Pinang) ada Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu, namun, sekiranya dikaji, negeri atau negara manakah yang lebuhrayanya dilengkapi dengan lampu isyarat.
Justeru, adalah amat sedih sekiranya terdapat pihak yang melemparkan dakwaan sedemikian.