Pelan induk ‘transformasi’ Stesen Pertanian Relau akan diteliti – Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri (kanan sekali) diiringi Dr. Norlela Ariffin (dua dari kiri) dan tiga lain meneliti hasil buah fikiran pemenang tempat pertama Pertandingan Pelan Induk Stesen Pertanian Relau, selepas sidang media di Komtar pada 6 Oktober 2022.

GEORGE TOWN – Kumpulan Sedusun Tech Valley dipilih sebagai pemenang pertama Pertandingan Pelan Induk Stesen Pertanian Relau anjuran Kerajaan Negeri dan membawa pulang wang tunai bernilai RM30,000.

Tempat kedua dengan hadiah wang tunai berjumlah RM15,000 dimenangi oleh Qhawarizmi manakala pemenang tempat ketiga iaitu SMOA-ANGKASALAB pula memperoleh hadiah tunai RM7,000. Hadiah saguhati berupa tunai RM2,000 turut diberikan kepada lima peserta yang berjaya memasuki peringkat akhir pertandingan tersebut.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa tujuan penganjuran pertandingan itu antara lain adalah untuk membangunkan serta mentransformasikan Stesen Pertanian Relau menjadi sebuah ‘Lembah Silikon Pertanian’ di Pulau Pinang.

“Pertandingan pelan induk (pertanian) ini adalah untuk melihat bagaimana kita (Kerajaan Negeri) dapat menggunakan potensi Stesen Pertanian Relau menjadi suatu tempat dalam mengekalkan peranan serta fungsinya dengan memanfaatkan teknologi dan juga peluang untuk kita mempromosikan ekopelancongan.

“Walaupun pemenang (pertandingan pelan induk pertanian) telahpun diumumkan, Kerajaan Negeri telah memutuskan ia adalah suatu projek yang kita ingin laksanakan.

“Tetapi, cabarannya adalah kos pelaksanaan konsep ini akan menelan kira-kira RM46 juta,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi dalam sidang media di Komtar pada 6 Oktober 2022.

Sehubungan itu, Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya akan meneliti isu-isu pelaksanaan termasuk penjelasan Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin yang memaklumkan bahawa agensi-agensi Persekutuan juga tertarik dengan potensi projek mentransformasikan Stesen Pertanian Relau serta hasil daripada pertandingan pelan induk pertanian tersebut.

“Mereka (agensi-agensi Persekutuan berkaitan) mahu menimbang potensi projek ini, kalau Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) ingin memohon untuk mendapatkan peruntukan.

“Selain itu, seperti mana diamalkan di negeri Pulau Pinang, kita mungkin akan menjemput pihak swasta untuk meneliti konsep (pelan induk pertanian) yang menang (pertandingan ini),” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Pegawai Kewangan Negeri Pulau Pinang, Zabidah Safar; Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd. Zakuan Zakaria; Pengarah Jabatan Pertanian Negeri, Mohd. Muhaimin Ibrahim; Setiausaha bagi Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Zuhair Jamaludin dan Timbalan Setiausaha Bahagian (Makro Pembangunan) BPEN, Muhamad Husni Mahmud turut sertai siang media berkaitan.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : LAW SUUN TING