Pelan intervensi Kerajaan Negeri pastikan bekalan ayam stabil

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil langkah intervensi bagi memastikan bekalan ayam di negeri ini dalam keadaan stabil susulan langkah penamatan subsidi dan kawalan harga ayam mulai 1 November 2023.

Exco Agroteknologi & Keterjaminan Makanan dan Pembangunan Koperasi, Fahmi Zainol berkata bahawa Kerajaan Negeri akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan status bekalan dan harga ayam di ladang dalam keadaan stabil.

Katanya, langkah itu juga adalah untuk memastikan harga ayam tidak akan membebankan rakyat serta mengelakkan berlaku sebarang manipulasi pencatutan di sepanjang rantaian bekalan.

“Kerajaan Negeri dengan dokongan pihak Kementerian Pertanian & Keterjaminan Makanan (MAFS) akan terus memberikan tumpuan untuk memperkasa industri penternakan ayam melalui bantuan insentif kepada penternak.

“Bantuan yang diberikan adalah dari segi pembiayaan dana pusingan kepada penternak bersaiz kecil dan sederhana serta skim mikro kredit sebagai bantuan modal pusingan kepada penternak komuniti.

“Selain itu, program transformasi reban ayam terbuka kepada reban ayan tertutup juga turut dijalankan.

“Langkah ini akan memberikan peningkatan daripada akses bekalan secara terus daripada komuniti kepada pemborong-pemborong di pasaran,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Di samping itu kata Fahmi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dengan kerjasama erat Lembaga Pemarasan Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah memainkan peranan penting dalam meluaskan akses bagi perbekalan ayam.

“Inisiatif ini dilaksanakan melalui 31 Outlet Agrobazaar FAMA serta 16 Outlet Runcit NAFAS (Pertubuhan Peladang Kebangsaan), Program Jualan Agro MADANI dan Jualan Rahmah secara berterusan di semua daerah di negeri.

“Melalui program ini, rakyat diberikan pilihan dan jaminan untuk mendapatkan bekalan ayam pada harga yang berpatutan dan di bawah harga siling semasa,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.

Terdahulu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata bahawa kerajaan bersetuju menamatkan subsidi dan harga kawalan bagi ayam sepenuhnya bermula 1 November 2023.

Subsidi serta kawalan harga bagi telur ayam gred A, B dan C tetap diteruskan menggunakan mekanisme sedia ada.