GEORGE TOWN- Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah merangka beberapa projek infrastruktur bekalan air termasuk Pelan Kotigensi Air Mentah 2030 (RWCP 2030) demi memastikan keselamatan bekalan air di negeri ini.
Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban, A. Kumaresan mengenai analisis kos dan kajian yang telah dilaksanakan bagi mencari sumber air baru selain dari negeri Perak pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Ke-15 di sini pagi tadi.
“RWCP 2030 adalah sebahagian daripada Inisiatif Bekalan Air Pulau Pinang 2050 (PWSI 2050) dan projek-projek utama kejuruteraan bekalan air RWCP 2030 akan dimulakan dari tahun 2022 hingga 2028.
“Antara projek yang terlibat adalah Fasa 2 naik taraf Tangki Pemendapan Loji Rawatan Air 91 juta liter sehari (JLH), Pakej 12A, LRA Sungai Dua : Tambahan modul rawatan air baharu (114 JLH), Fasa 1 LRA Empangan Mengkuang (114 JLH), Fasa 1 LRA Sungai Muda (114 JLH), Skim Bekalan Air Sungai Perai (136 JLH) dan Skim Bekalan Air Sungai Kerian (114 JLH).
“Selain itu, Kerajaan Negeri dan PBAPP telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama dengan pakar-pakar dari industri air dan para akademik dalam meneroka sumber air baru selain Sungai Perak dan pelaksanaan ini memerlukan kajian lebih lanjut terutamanya bagi menganalisis kos bagi pelaksanaan sumber air baru,” ujar Zairil yang juga ADUN Tanjung Bunga.
Pada sesi sama Zairil turut menjawab soalan ADUN Sungai Puyu, Phee Syn Tze mengenai pelan mitigasi yang akan dilaksanakan sekiranya kerja-kerja pembinaan terowong dasar laut bermula terutamanya di jajaran yang berhampiran dengan kawasan perumahan.
“Perancangan berhubung kaedah kawalan dan langkah-langkah mitigasi semasa pelaksanaan projek hanya dapat ditentukan setelah reka bentuk terperinci awalan (preliminary detail design) disiapkan.
“Reka bentuk terperinci ini akan dikemukakan di dalam Laporan Detailed Environmental Impact Assessment (DEIA) dan semua langkah-langkah kawalan akan ditetapkan di dalam kelulusan Laporan DEIA tersebut.
“Langkah-langkah kawalan ini tidak dihadkan kepada kawasan perumahan sahaja namun di sepanjang jajaran projek termasuk kesan kepada ekosistem, sosial dan trafik,” maklum Zairil lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT