TINDAKAN proaktif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) dalam melaksanakan beberapa pelan kontigensi bagi mengatasi paras air Empangan Teluk Bahang yang berada di tahap kritikal tahun lalu kini mencapai objektifnya apabila paras empangan meningkat kepada 60.7 peratus semalam berbanding tarikh sama tahun lalu (2020) hanya 41.8 peratus.
Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Dato’ Ir. Jaseni Maidinsa yang ditemui ternyata bersyukur di atas perkembangan tersebut memandangkan beliau hanya menyasarkan paras empangan berada pada kadar 45 peratus menjelang penghujung tahun 2020 lalu.
Jelasnya, beberapa pelan kontigensi yang dirancang PBAPP ternyata membuahkan hasil malah membolehkan Empangan Teluk Bahang kini mempunyai rizab margin air yang lebih untuk simpanan pada musim kemarau kelak.
“Kapasiti air yang dicatatkan hari ini (60.7 peratus) berada pada tahap amat memuaskan jika dibandingkan pada tarikh sama tahun lalu, di mana tahun ini kita mulakan tahun 2021 dengan rizab margin air yang lebih tinggi.
“Dengan peratusan tersebut, Empangan Teluk Bahang mampu membekalkan air selama 185 hari bersamaan enam bulan kepada lebih 30,000 pengguna di sekitar Teluk Bahang, Tanjung Bungah dan Batu Ferringhi,” ujarnya ketika ditemu ramah Wartawan Buletin Mutiara, NORSHAHIDA YUSOFF dan jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD semalam.
Bercerita lanjut berhubung pelan kontigensi yang dilakukan, Jaseni memaklumkan PBAPP segera mencari alternatif penyelesaian dengan melaksanakan tindakan proaktif pengalihan air mentah dari kawasan tadahan Sungai Pinang, Balik Pulau berhampiran air terjun Titi Kerawang pada September 2020 dan kawasan tadahan Batu Ferringhi (Oktober 2020) ke Empangan Teluk Bahang ketika musim hujan.
“Tahun lalu adalah tahun paling kritikal, seluruh warga PBAPP bertungkus-lumus memastikan tiada catuan air dilaksanakan di negeri ini walaupun paras air di empangan tersebut berada pada paras kritikal.
“Kita kena bertahan… bertitik tolak daripada situ, kami mencari alternatif supaya sumber air yang ada dapat bertahan sekurang-kurangnya sehingga musim hujan.
“Tuntas bermula awal tahun lagi pihak PBAPP telah mula mengeluarkan kenyataan media sekerap mungkin bagi memaklumkan paras empangan terkini kepada pengguna, selain mendapatkan kerjasama para Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menguar-uarkan kepada orang ramai untuk menggunakan air dengan berhemah.
“Selain itu, dengan kekuatan utiliti sedia ada di kawasan tadahan Sungai Pinang dan Batu Ferringhi, kita alihkan lebihan air ketika musim hujan ke tadahan Empangan Teluk Bahang semula, dengan harapan dua tadahan tersebut termasuk kawasan tadahan Teluk Bahang sedia ada mampu meningkatkan kapasiti empangan berkenaan.
“Empangan (Teluk Bahang) ini besar, untuk penuh sepenuhnya memerlukan hujan yang banyak iaitu selama enam bulan setiap hari, itu adalah mustahil… justeru sebagai pelan tambahan PBAPP telah mencadangkan pembenihan awan kepada Kerajaan Negeri.
“Alhamdulillah dengan peruntukan kira-kira RM450,000 oleh pihak Kerajaan Negeri, sebanyak 15 pembenihan awan telah dilakukan dan hasil daripada semua pelan kontigensi yang telah dilaksanakan tersebut, kini Empangan Teluk Bahang berada pada kapasiti amat memuaskan,” ujarnya teruja.
Sehingga semalam, dua empangan lagi iaitu Empangan Air Itam berada pada paras 96.8 peratus lebih tinggi berbanding tarikh sama tahun lalu sebanyak 60.4 peratus dan Empangan Mengkuang (94.2 peratus) berbanding tarikh sama 73.6 peratus.
Bagi Empangan Air Itam, kapasiti tersebut mampu bertahan selama tiga bulan atau bersamaan 94 hari, manakala Empangan Mengkuang 251 hari (lapan bulan).
Mengulas mengenai corak perubahan tersebut, Jaseni memaklumkan ia adalah disebabkan faktor perubahan cuaca dan taburan hujan yang telah berubah.
“Walaupun mampu menarik nafas lega dengan ketiga-tiganya berada paras memuaskan, namun pengguna perlu terus berhemah menggunakan air kerana sekarang memang musim hujan, tapi kita tidak tahu bila kemarau akan mula dan berlarutan berapa lama, justeru PBAPP sentiasa perlu bersiap-siaga disebabkan patern taburan hujan telah berubah,” maklum beliau.
Disoal mengenai cabaran PBAPP ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac 2020 dan PKP 2.0 kini, Jaseni dalam nada seloroh berkata bahawa cabaran paling besar adalah taburan hujan.
“PBAPP bertanggungjawab untuk memastikan Pulau Pinang sentiasa ada bekalan air dan tiada catuan dikenakan, baru kita (Pulau Pinang) boleh lawan COVID-19… kalau tiada air macam mana kita nak cuci tangan, nak membersihkan kawasan sekitar seperti pasar dan lain-lain.
“Semasa pelaksanaan PKP, seperti juga tiap kali musim kemarau kita (PBAPP) akan meminimumkan pelepasan air dari empangan supaya tidak berlebihan,” ujar Jaseni sambil menambah bahawa tahun 2020 adalah cabaran getir buatnya ekoran empangan berada pada paras paling kritikal dalam sejarah.
Sebagai rekod, Jaseni mula berkhidmat bersama-sama PBAPP pada tahun 1985 dan menerajui perbadanan berkenaan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada tahun 2007, pelbagai kejayaan telah dilakarnya.
Sebagai tambahan, bagi memastikan sumber air yang mampan kepada pengguna di kawasan pulau, Pulau Pinang projek saluran paip berkembar dasar laut ketiga dari Butterworth ke Maccalum sejauh 3.2 kilometer telah siap mengikut jadual pada November 2020.
Manakala, cadangan untuk menjadikan Sungai Perai sebagai sumber alternatif bekalan air mentah di Pulau Pinang masih di peringkat kajian dan PBAPP dijangka membentangkannya kepada Kerajaan Negeri pada suku pertama tahun 2020.