GEORGE TOWN – Cadangan penambakan laut menjadi tiga pulau jadian demi membiayai RM47 bilion kos Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang dikatakan bukan sahaja akan menjejaskan pendapatan nelayan, bahkan turut mendapat bantahan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mesra alam sekitar sehingga kini.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam siaran langsung selama sejam pada slot Soal Rakyat terbitan TV3 pada malam tadi diminta menjelaskan pendekatan pentadbiran beliau dalam mengurus perkara yang dianggap mencabar itu.
“Sebarang projek besar (atau) projek kecil memang ada impak kepada alam sekitar dan sosial…banyak NGO pun bermula dari Pulau Pinang.
“Maka, negeri Pulau Pinang dan rakyatnya memang biasa dengan kempen-kempen untuk menjelaskan sesuatu isu.
“Memang ada kerisauan nelayan terhadap tempat mereka menangkap ikan dan sebagainya, jadi, komitmen Kerajaan Negeri telah banyak kali nyatakan bahawa kita tidak akan dan tidak boleh melakukan apa-apa kerja (tanah) selagi tidak ada kelulusan.
“Kita akan memenuhi dan patuh segala syarat yang ditetapkan kerana agensi Persekutuan yang memberikan kelulusan, misalnya Kajian Impak Alam Sekitar (DEIA), Kajian Impak Sosial (SIA) dan sebagainya.
“Tidak dapat dinafikan ada impak bagi satu-satu projek tapi bagi kita, dan konsultan kita, adalah bagaimana membuat pelan mitigasi untuk menangani segala impak yang dikenal pasti.
“Kita akan menetapkan bagaimana menangani segala impak ini melalui pelan mitigasi,” responsnya dalam wawancara eksklusif bersama-sama moderator Ally Iskandar Mohd. Mardzi dan Siti Hasfizza Aswaty Sabjahan pada 3 April 2019.
Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah dan Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi turut mengulangi pendirian Kerajaan Negeri bahawa Kerajaan Pusat wajar melaksanakan kajian kebolehlaksanaan terlebih dahulu sebelum memuktamadkan cadangan berhubung pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim.
Menurutnya, Pulau Pinang sehingga kini adalah enjin ekonomi serta hub logistik utama bagi utara Semenanjung Malaysia meliputi Perlis, Kedah serta utara Perak.
Justeru, tambah Kon Yeow, cadangan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dekat Bayan Lepas wajar dilihat ‘secara holistik’ sebagai sistem sokongan logistik kepada negeri-negeri di utara Semenanjung Malaysia termasuk hub perindustrian di Kulim.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING