Pelan susun semula kemudahan kesihatan negeri penuhi tuntutan peningkatan kes

Admin
KETUA Menteri melawat Program Saringan Massa KADUN Komtar di sini pada awal pagi tadi.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat bersama membantu Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) bagi menyusun semula segala kemudahan rawatan berkaitan memandangkan kes baharu positif COVID-19 kian meningkat sejak seminggu lalu di negeri ini.

KETUA Menteri (kanan) diiringi Teh Lai Heng (kiri) dalam sidang media ringkas tadi.

“Arahan (Mesyuarat) Exco Kerajaan Negeri semalam supaya kita menggandakan fokus kita memandangkan kes-kes COVID-19 di negeri Pulau Pinang telah menyaksikan trend meningkat sejak satu minggu yang lalu, hingga mencecah 876 kes semalam.

“(Susulan itu,) saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada KKM supaya memberi bantuan kepada JKNPP supaya kita dapat memenuhi tuntutan-tuntutan yang disebabkan penambahan kes positif COVID-19,” jelasnya selepas melawat siri ke-16 Program Saringan Massa COVID-19 Pulau Pinang Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Komtar dekat sini pada 5 Ogos 2021.

Turut serta, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Ketua Polis Negeri, Dato’ Mohd. Shuhaily Mohd. Zain.

Menurut Kon Yeow, pada petang ini Pengarah Kesihatan Negeri, Dato’ Dr. Asmayani Khalib akan membentangkan pelan berkaitan kepada Pihak Berkuasa Negeri bagi melandaikan kembali keluk penularan wabak COVID-19 di Pulau Pinang.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memberitahu bahawa pentadbirannya berharap Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) dapat memastikan kelajuan proses pembekalan dos vaksin ke negeri ini iaitu dapat dipercepatkan lagi.

“Pada bulan Julai (2021), kita (Pulau Pinang) menerima sejumlah bekalan vaksin yang membolehkan kita memberikan suntikan sebanyak 700,000 dos (bagi tempoh sebulan) kepada rakyat di bawah Program (Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, PICK) ini.

“Tetapi, bagi bulan ini (Ogos 2021), kita dimaklumkan pada peringkat JKJAV, Menteri berkaitan telah minta masa untuk meneliti.

“Saya harap pada peringkat Persekutuan, pembekalan vaksin dari luar (negara) ke Malaysia untuk diedarkan di setiap negeri dapat diselesaikan dan edaran dipercepatkan (accelerated) kerana kita (Pulau Pinang) tidak mahu PICK terjejas,” ulasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

Menjawab soalan pemberita selepas itu, Kon Yeow menyatakan bahawa memang terdapat satu kes penularan COVID-19 yang berpunca daripada varian Delta dilaporkan di Pulau Pinang.

“Namun, pada peringkat JKNPP dan KKM, mereka memerlukan masa untuk memastikan (varian baharu) yang mungkin ada di negeri kita,” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

KETUA Menteri (tiga dari kiri) diiringi Jagdeep Singh Deo (empat dari kiri), Teh Lai Heng (kiri sekali) dan Ar. Yew Tung Seang (dua dari kiri) menyampaikan pek bantuan berkaitan kepada seorang penerima terpilih di sini pada awal pagi tadi.
JAGDEEP Singh Deo

Sebelum pada itu, Jagdeep memberitahu bahawa daripada hampir 20,000 individu yang menjalani ujian calitan menerusi 15 siri Program Saringan Massa COVID-19 secara percuma di negeri ini, ia berjaya menjejaki 2.5 peratus individu bergejala untuk proses pemeriksaan seterusnya.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI