Pelan Tindakan Bakat STEM Pulau Pinang, pelan strategik jangka panjang bangunkan modal insan mahir

Admin
img 20241128 wa0018

GEORGE TOWN – Pelan Tindakan Bakat STEM Pulau Pinang atau Penang STEM Talent Blueprint yang dilancarkan pada 8 September 2024 merupakan pelan strategik jangka panjang dalam membangunkan modal insan yang berkemahiran.

Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo berkata, misi pelan tindakan ini juga adalah bagi membina tenaga kerja mampan dan berpengetahuan dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk memenuhi permintaan industri di negeri ini.

“Kekurangan bakat dalam sektor semikonduktor adalah trend global yang dihadapi termasuk Pulau Pinang.

“Pulau Pinang memerlukan lebih ramai bakat teknikal yang terlatih untuk menyokong industri sedia ada sekali gus menarik pelaburan langsung asing baharu.

“Justeru, sebagai langkah proaktif pelan tindakan ini diperkenalkan termasuk Penang Strategy for Economic Ecosystem Development dalam merealisasikan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS),” ujarnya pada sesi penggulungan sempena Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Kelima Belas di sini pada 28 November 2024.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Modal Insan, Sains dan Teknologi turut menyentuh senario sektor elektrik dan elektronik (E&E) di Pulau Pinang.

“Sektor E&E Pulau Pinang berkembang pesat dan menjadi penyumbang utama nilai eksport negara sebanyak 58 peratus pada tahun 2023.

“Malah, Kerajaan Negeri juga menyasarkan sektor ini mampu mencapai RM1 trilion menjelang tahun 2030 nanti.

 

“Untuk tempoh lima tahun akan datang, kita menyasarkan untuk menarik sekurang-kurangnya 10 syarikat tempatan dan antarabangsa baharu dalam reka bentuk litar bersepadu dan pembungkusan termaju dengan mencipta 10,000 peluang pekerjaan bernilai tinggi di samping melatih dan meningkatkan kemahiran graduan.

 

“Penglibatan graduan untuk menjadi perintis dalam industri yang menghasilkan komponen teknologi tinggi adalah salah satu inisiatif penting untuk memastikan pembangunan sektor-sektor berkaitan berkembang pesat.

“Oleh yang demikian fokus akan terus diberikan kepada tiga aktiviti utama di bawah NSS iaitu reka bentuk litar bersepadu (IC design), pembungkusan termaju (advanced packaging) dan peralatan pembuatan (manufacturing equipment),” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datok Keramat itu.

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD