GEORGE TOWN – Pelantikan Yang Dipertua Negeri (TYT) adalah terletak di bawah kuasa dan budi bicara Yang Dipertuan Agong, manakala Kerajaan Negeri hanya mencadangkan nama.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa senarai nama calon telahpun Kerajaan Negeri kemukakan kepada Pejabat Perdana Menteri untuk dibawa ke Istana Negara.
Terpulang atas budi bicara Yang Dipertuan Agong, apa-apa pengumuman mengenai perkara ini akan dibuat setelah mendapat perkenan nanti.
“Saya harap semua dapat bersabar kerana ia adalah atas budi bicara Yang Dipertuan Agong.
“Senarai nama calon yang dikemukakan telah dibincangkan dan dipersetujui dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) baru-baru ini.
“Sama ada dilanjutkan atau akan ada pelantikan baharu semuanya adalah atas budi bicara Yang Dipertuan Agong berdasarkan pada Perkara 1 (1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang,” jelasnya pada sidang media di sini sebentar tadi.
Maklum balas berkaitan adalah berikutan soalan daripada pihak media berhubung tempoh pelantikan TYT, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak yang bakal tamat pada 30 April 2025 setelah tempoh empat tahun bagi penggal pertama dilantik.
Menyorot kembali, Tun Ahmad Fuzi menerima watikah pelantikan daripada Yang di-Pertuan Agong terdahulu pada 30 April 2021 di Istana Negara dan mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang ke-lapan pada 1 Mei 2021 di Dewan Sri Pinang.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD