Pelantikan TYT tidak semestinya dari Pulau Pinang – Ketua Menteri

Admin
whatsapp image 2025 03 20 at 13.47.10

GEORGE TOWN – Yang Dipertua Negeri (TYT) Pulau Pinang tidak semestinya dilantik dalam kalangan warga negeri kerana perkara sedemikian tidak termaktub dalam Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa berdasarkan sejarah pelantikan TYT Pulau Pinang, tidak semuanya berasal atau lahir di Pulau Pinang.

Dalam Perlembagaan Negeri tidak dinyatakan bahawa calon TYT mesti dari Pulau Pinang.

“Malah, dalam sejarah pelantikan juga ada Yang Dipertua Negeri yang bukan lahir di Pulau Pinang.

“(Sebaliknya), pelantikan TYT adalah berdasarkan status, pengalaman, kelayakan dan faktor-faktor lain yang dianggap bersesuaian,” ujarnya pada sidang media di Komtar pada 20 Mac 2025.

Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai senarai nama calon yang dihantar ke Pejabat Perdana Menteri untuk dibawa ke Istana Negara, Kon Yeow walau bagaimananapun enggan mengulas lanjut.

“Saya tetap dengan kenyataan semalam bahawa saya tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara yang berada di bawah budi bicara Yang Dipertuan Agong,” katanya sambil merujuk Perlembagaan Negeri Pulau Pinang.

Perkara 1 (1) Perlembagaan Negeri Pulau Pinang menyatakan bahawa – “Hendaklah ada seorang Yang di-Pertua Negeri bagi Negeri yang hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong yang bertindak menurut budi bicaranya tetapi selepas berunding dengan Ketua Menteri.”

Semalam, Kon Yeow memaklumkan kepada pemberita bahawa pihaknya telah mengemukakan senarai nama calon TYT yang baharu untuk dipersembahkan kepada Yang Dipertuan Agong.

“Terpulang atas budi bicara Yang Dipertuan Agong, apa-apa pengumuman mengenai perkara ini akan dibuat setelah mendapat perkenan nanti,” katanya.

Sebagai rekod, sehingga kini Pulau Pinang telah memiliki lapan TYT yang mana tempoh pelantikan TYT kelapan, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak bakal tamat pada 30 April 2025 setelah empat tahun dilantik.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR