Pelbagai ragam hari pertama persekolahan, waris bangkitkan isu belanja persiapan ketara meningkat

img 6139 TINJAUAN pada awal pagi tadi di sebuah sekolah rendah dekat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) mendapati gelagat beberapa waris mengiringi anak-anak Tahun 1 yang buat pertama kali menyertai perhimpunan pelajar sempena hari pertama persekolahan sesi 2025/2026 di sini.

SESI persekolahan tahun 2025/2026 bagi Pulau Pinang dan negeri-negeri dalam Kumpulan B secara rasminya dibuka pada hari ini.

Sementara, semalam adalah sesi persekolahan bagi negeri-negeri dalam Kumpulan A iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Johor mula dibuka.

Seawal jam 7.00 pagi tadi, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS berkesempatan membuat tinjauan lapangan di salah sebuah sekolah rendah dekat Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

Selain keadaan trafik begitu sesak di laluan khas untuk menurunkan murid-murid di pintu masuk sekolah, di bahu jalan dapat dilihat macam-macam gelagat ibu bapa dan waris dalam menenangkan anak-anak semasa mahu diserah kepada guru yang bertugas.

Ada murid tahun satu masih membawa bantal ‘buaya comel’, ada yang gigih dan ‘ciwi’ dengan beg sekolah beroda dan tak kurang juga menangis teresak-esak kerana tidak mahu ditinggalkan waris.

Kata seorang guru, kebiasaannya mereka yang menerima pendidikan pra sekolah di sekolah rendah di sini lebih riang pada hari pertama daftar masuk Tahun 1 kerana telah terdedah awal dengan suasana persekolahan sebenar.

“Kalau yang bawa ‘bantal busuk’ atau mendakap erat peha ibu bapa itu, kebiasaannya mungkin ‘home schooling’ atau bukan bekas pelajar pra sekolah di sekolah ini,” seloroh seorang guru bertugas yang enggan identitinya diketahui khalayak semasa tinjauan di sekolah rendah tersebut di sini pada 17 Februari 2025.

Tambahnya lagi, seboleh-bolehnya para waris serta ibu bapa menyerahkan murid Tahun 1 di pintu sekolah, serta tidak dibenarkan masuk ke kawasan sekolah seperti tahun-tahun sebelum ini.

“Pada awal pagi ini ada perhimpunan para pelajar termasuk pelajar Tahun 1 serta pra sekolah sahaja; sementara pada petang nanti akan ada sesi khas dengan ibu bapa untuk urusan daftar KAFA (Kelas Al-Quran dan Fardu Ain),” jelasnya lagi sambil menghargai sekalian ibu bapa dan waris yang begitu menyantuni para guru pada hari pertama persekolahan.

Seorang waris pelajar yang ditemui kemudian memberitahu bahawa mulai 2.30 petang ini memang akan ada pertemuan antara waris dan guru KAFA di sekolah.

“Dalam WhatsApp, para waris memang diberitahu pada petang ini urusan bayar yuran KAFA anak (yang mana) RM130 untuk murid lama, RM140 untuk murid Tahun 1 dan murid baru.

“Macam anak saya, RM150 yuran sebab termasuk UPKK (Ujian Penilaian Kelas KAFA),” katanya lagi.

7eacef61 669b 412f 99b5 e53a9c0a544e
SUASANA para pelajar di sebuah sekolah dekat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) menyertai perhimpunan sempena hari pertama persekolahan sesi 2025/2026 di sini pada pagi tadi.

Dalam perkembangan lain, menyedari kehadiran wartawan Buletin Mutiara sedang membuat tinjauan lapangan di sini, seorang responden lain meminta diketengahkan isu berkaitan yang lain.

“Semua kita tahu bahawa setiap murid tanpa mengira kelas pendapatan isi rumah baru-baru ini telah mendapat Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2025 sebanyak RM150 sama ada secara tunai atau dikreditkan dalam akaun pelajar sendiri.

“Cabarannya di sini adalah hampir RM150 itu habis untuk membeli buku tulis, buku latihan dan seragam pakaian sukan yang dipakejkan secara tetap oleh pihak koperasi sekolah sahaja; belum masuk yuran sekolah dan sebagainya.

“Kalau nak ikut Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2025 untuk seorang anak saya di sekolah menengah, RM150 itu habis untuk belanja di koperasi sekolah sahaja; (sementara) baju seluar sekolah kena belanja duit lain.

“Kos persiapan anak ke sekolah ‘tiba-tiba’ meningkat secara ketara, kalau boleh isu ini diketengahkan supaya pihak berwajib dapat memperbaiki lagi skim Bantuan Awal Persekolahan pada tahun akan datang dengan mengambil kira kos belanja ikut pakej tetap koperasi sekolah,” ujarnya lagi.

1560a0e9 fdba 4d7c 9987 daa732f4c708
WAN Sajiri Wan Hassan (depan, tengah) dengan dibantu seorang guru memakaikan pelitup muka kepada salah seorang pelajar yang dikenal pasti batuk semasa hadir hari pertama persekolahan pada pagi tadi di sini.

Difahamkan, sempena hari pertama pembukaan 396 buah sekolah di negeri Pulau Pinang, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pulau Pinang, Wan Sajiri Wan Hassan dilaporkan turut turun padang bagi meninjau sendiri perjalanan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saujana Indah di Nibong Tebal dekat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Seusai tinjuan di sekolah berkenaan, beliau memberitahu para pengamal media bahawa seramai 235,305 murid memulakan persekolahan di 396 buah sekolah di seluruh Pulau Pinang, dengan semangat.

Menurutnya, sebanyak 20,192 murid mendaftar darjah satu di 269 sekolah, sementara 16,814 pelajar lain di tingkatan satu di 127 buah sekolah di seluruh negeri pada sesi persekolahan kali ini.

“Bagi sesi persekolahan 2025-2026, seramai 100,681 murid mendaftar di sekolah menengah manakala 126,608 pula di sekolah rendah dan 8,016 murid di pra sekolah di seluruh negeri, setakat ini setiap kelas ada purata 30 hingga 35 pelajar.

“Pulau Pinang sebenarnya tidak banyak sekolah yang menjalankan sekolah dua sesi dan ada sekolah yang asalnya dua sesi telah kembali kepada satu sesi mulai tahun ini, jadi tidak banyak sekolah yang padat dan kita harapkan operasi sekolah tidak terhalang dengan isu kepadatan murid,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan hari pertama persekolahan di sini tadi.

Beliau berkata, pihaknya menggalakkan murid yang mempunyai masalah kesihatan seperti batuk, demam atau selesema agar memakai pelitup muka ke sekolah dan JPN juga mempunyai naratif membenarkan pemakaian yang bersesuaian untuk pelajar pakai jika cuaca panas.