Pelebaran empat persimpangan kurang 15% kesesakan

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : MARK JAMES

PULAU TIKUS – Pelebaran sebahagian laluan di Jalan Gottlieb, Jalan Mount Erskine, Jalan Bagan Jermal dan Jalan Burma di sini dilihat mampu mengurangkan masalah kesesakan lalulintas sehingga 15 peratus di kawasan berkenaan.

Perkara itu dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika hadir merasmikan pembukaan rasmi jalan-jalan terbabit di sini baru-baru ini.

Jelasnya, projek pelebaran dan menaiktaraf sebahagian jalan-jalan berkaitan adalah projek interim yang dilaksanakan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) bagi mengurai kesesakan lalulintas di sini.

“Jalan Bagan Jermal dan Jalan Mount Erskine merupakan laluan arterial penting dan menampung isipadu aliran lalulintas yang sangat tinggi.

“Setiap hari, lebih daripada 50,000 buah kenderaan melalui kawasan ini dan kesesakan seringkali berlaku terutama ketika waktu-waktu puncak.

“Dengan siapnya projek ini, dijangkakan sebanyak 15 peratus kesesakan lalulintas dapat dikurangkan di samping menambahbaik keberkesanan lampu isyarat di kawasan ini sebanyak 10 peratus lagi,” katanya pada Majlis Perasmian Pembukaan Sebahagian Laluan Di Jalan Gottlieb, Jalan Mount Erskine, Jalan Bagan Jermal dan Jalan Burma yang dilebarkan di sini baru-baru ini.

Tambah Guan Eng, projek yang bermula pada 15 April 2014 tersebut siap lebih awal dari dijadualkan iaitu, sepatutnya siap bina pada 28 Februari 2015, tetapi telah siap 10 hari awal.

“Selain menambah satu lorong lalulintas di Jalan Bagan Jermal dan satu lorong lalulintas di Jalan Mount Erskine, projek bernilai RM2.426 juta ini turut merangkumi pemasangan lintasan pejalan kaki berlampu isyarat di Jalan Bagan Jermal serta menaiktaraf sistem peparitan dan laluan pejalan kaki.

“Semua ini adalah untuk rakyat, untuk keselesaan rakyat. Malah Kerajaan Negeri dan MPPP kini giat melaksanakan pelbagai inisiatif secara jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang bagi memberi keselesaan kepada pengguna jalanraya di Pulau Pinang,” jelasnya.

“Ini adalah untuk menampung jumlah kenderaan di Pulau Pinang yang kini mencapai 2.4 juta unit dengan populasi hanya 1.7 juta orang. Jumlah itu tidak termasuk kenderaan dari luar Pulau Pinang,” jelasnya.

Bagi tahun 2015, MPPP telah memperuntukkan RM69 juta untuk kajian dan pelaksanaan projek-projek pembinaan, pelebaran dan menaiktaraf jalan.

Pengumuman akan dibuat secara berperingkat melalui sistem tender terbuka.}