Peluang kerjaya berkualiti untuk anak muda Pulau Pinang terus diusahakan

Admin

BUKIT TENGAH – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya akan terus berusaha dalam memastikan peluang kerjaya yang berkualiti cukup untuk memenuhi impian anak muda Pulau Pinang, walaupun sedar mengenai keadaan ekonomi negeri kian mencabar ekoran pandemik COVID-19 semasa.

Bercakap dalam sesi dialog tertutup bersama-sama puluhan anak muda, Kon Yeow memberitahu bahawa langkah tersebut bukan sahaja bakal memulihkan kembali ekonomi penduduk Pulau Pinang secara umum.

Bahkan, menurut beliau, ia sekaligus akan menjana sokongan lebih besar dalam kalangan anak muda terhadap dasar-dasar ekonomi yang diusahakan oleh Kerajaan Negeri hari ini.

KETUA Menteri (depan, dua dari kiri), Steven Sim Chee Keong (depan, kiri sekali), Edry Faizal Eddy Yusof (depan, tiga dari kiri) merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama puluhan anak muda, selepas selesai dialog tertutup di Hotel Iconic di sini pada lewat petang tadi.

“Sebagai Ketua Menteri, tumpuan saya mesti daripada segi kebajikan rakyat (iaitu) pada aspek peluang pekerjaan (dan) peluang pendidikan (serta) bagaimana menjana ekonomi di negeri ini.

“Dengan ekonomi (yang terus digerakkan supaya bertumbuh secara sihat), maka, kehidupan kita (rakyat Pulau Pinang) akan terjamin dengan peluang pekerjaan serta pendapatan stabil yang secara tidak langsung dapat menggalakkan rakyat terutama anak muda untuk menceburi dan menyumbang bakat masing-masing.

“Saya memberi banyak tumpuan dalam bidang-bidang berkaitan bagi memastikan kita (Pulau Pinang) ada peluang pekerjaan yang berkualiti serta peluang perniagaan mencukupi.

“Kalau kita (Kerajaan Negeri) tidak dapat mewujudkan peluang-peluang ini, maka di manakah anak-anak muda dapat menyumbang bakat dengan kerjaya berkualiti selepas tamat pengajian kelak,” jelasnya pada majlis berkaitan di sini pada 22 Ogos 2020.

KETUA Menteri dalam sesi dialog anak muda kendalian moderator Joshua Woo Sze Zeng (kiri) di sini tadi. 

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Selangor, Edry Faizal Eddy Yusof; Pengarah Eksekutif PEKA, Joshua Woo Sze Zeng serta beberapa pemimpin pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut sertai acara tertutup tersebut.

Difahamkan, bengkel berkaitan berlangsung selama tiga hari dua malam di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS