Peluang saksikan bakat pelukis autisme sempena GTF 2021, Julai ini

Admin

PULAU TIKUS – Bagaikan satu penghormatan buat pelukis autism, Frankie Lim apabila hasil karya lukisannya bakal dipamerkan pada festival yang cukup signifikan dengan Pulau Pinang iaitu George Town Festival (GTF).

Itulah yang dizahirkan oleh Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin yang menyifatkan hasil karya lukisan pelukis istimewa tersebut sebagai unik. 

 

“Sebanyak 40 hasil karya Frankie Lim yang dihasilkan sebelum dan semasa pandemik COVID-19 bakal dipamerkan pada pameran seni, AR/UTISTIC: Diaries on the Spectrum Art Exhibition bermula dari 9 hingga 18 Julai 2021 ini di Ming Art Gallery, Gurney Paragon.

 

“Pameran yang diadakan serentak dengan sambutan GTF2021 itu mensasarkan untuk membawa masyarakat umum menyelami jiwa seni insan autisme seperti Frankie Lim.

 

“Pada masa yang sama, pameran ini mampu mempromosikan penerimaan sosial terhadap individu yang mengalami autisme selari dengan tema GTF2021, ‘A Festival for Everyone’ (Festival Untuk Semua).

 

“Selain itu, Pulau Pinang juga merupakan sebuah negeri yang menitikberatkan soal keterangkuman, justeru, Kerajaan Negeri senantiasa mengalu-alukan persamaan dan meraikan perbezaan,” ujar Soon Hin ketika berucap pada sidang media di sini hari ini.

 

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit.

 

Menariknya, sejurus sidang media, Frankie Lim turut menunjukkan bakat melukis sambil disaksikan oleh Soon Hin, Chun Kit dan para pemberita.

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI