Pemandu teksi pertama, kedua layak terima RM300 – KM

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, pemandu pertama dan kedua bagi tiap-tiap teksi layak menerima RM300 insentif perkhidmatan daripada Kerajaan Negeri, pada kali ini.

“Kerajaan Negeri telah memutuskan insentif akan diberikan kepada pemandu pertama dan kedua setiap teksi.

“Ini, jelas menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri yang bersifat ‘people centric’,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih di sini baru-baru ini.

Guan Eng berkata demikian pada Majlis Pemberian Insentif Perkhidmatan Kepada Pemandu Teksi Bajet, Teksi Lapangan Terbang, Teksi Eksekutif, Teksi Mewah, Limousin dan Kereta Sewa Peringkat Pulau Negeri Pulau Pinang.

Majlis berasingan serupa turut diadakan peringkat Seberang Perai di Kompleks Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dekat Seberang Jaya.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Teow dan Pengerusi Gabungan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Pulau Pinang, Abd. Malik Darus turut berucap pada majlis di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Danny Law Heng Kiang (Exco Pembangunan Pelancongan), Wong Hon Wai (Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Air Itam) dan Lim Siew Khim (ADUN Sungai Pinang).

Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri pada kali ini memperuntukkan sebanyak RM509,700 untuk disumbangkan kepada penerima insentif perkhidmatan berdaftar, iaitu 2,500 orang dari bahagian pulau dan baki, 392 dari Seberang Perai.

Selain itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi persekutuan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) kerana bekerjasama menyediakan senarai nama penerima insentif perkhidmatan kepada Kerajaan Negeri.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng turut mempertikai langkah Kerajaan Pusat mengenakan Cukai Barang & Perkhidmatan (GST) kepada teksi yang melakukan servis di pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), mulai 1 April depan.

“Sudahlah kena GST, Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) pun nampaknya akan kenakan GST lagi, ini dinamakan dua kali mati,” tegasnya yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Majlis pemberian insentif perkhidmatan berkenaan merupakan kali kelima diberikan kepada pemandu yang terpilih, sejak tahun 2013.

Difahamkan, pemandu tersenarai akan diberi insentif RM600 setahun, iaitu masing-masing RM300 pada awal tahun dan hujung tahun sebagai janji menifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) yang dikotakan Kerajaan Negeri hari ini.

Dalam pada itu, salah seorang penerima, MOHD. KAMAL RAZALI, 52, memberitahu, insentif tersebut sekaligus membuktikan Kerajaan Negeri begitu menghargai sumbangan pemandu teksi di negeri ini.

“Alhamdulilah, dengan bantuan diterima, kita nampak Kerajaan Negeri prihatin dan ambil kisah kepada pemandu-pemandu seperti kami,” ujarnya ketika ditemui Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.