Pemantauan bersepadu JKNPP, MBSP di bazar Ramadan Seberang Jaya

Admin

SEBERANG JAYA – Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melalui Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) bersama – sama Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah mengorak langkah melaksanakan pemeriksaan bersepadu di Pasar Awam Seberang Jaya pada 6 April 2022.

 

Turut serta, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad; Mahamad Sukor Senapi (Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Keselamatan dan Kualiti Makanan, BKKM) dan Dr. Noor Farhana Mohd. Fathil dari Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) bersama-sama 25 pegawai JKNPP dan 40 anggota MBSP.

 

AZHAR Arshad (depan, kanan) menyerahkan cenderamata kepada salah peniaga di sini.

Dalam pada itu, Azhar ketika ditemui berkata, jumlah keseluruhan Bazar Ramadan yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pulau Pinang adalah sebanyak 79 lokasi dengan pecahan di Seberang Perai (45 lokasi) dan di bahagian Pulau (34 lokasi).

 

“Bazar Ramadan Seberang Jaya ini merupakan bazar kedua terbesar di Seberang Perai dengan jumlah keseluruhan tapak sebanyak 145 tapak” ujarnya.

 

Sementara itu, Mahamad Sukor memberitahu bahawa pihaknya akan meneruskan aktiviti pemeriksaan di bazar- bazar Ramadan iaitu dengan menjalankan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan berdasarkan risiko ke atas kesalahan yang ditemui semasa pemeriksaan tersebut.

 

Kesalahan yang sering dijumpai semasa pemantauan dan pemeriksaan adalah disebabkan kegagalan pematuhan kepada Peraturan – Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

 

“Selain itu, pesampelan ke atas makanan yang dijual di bazar makanan turut dijalankan bagi memastikan kualiti makanan dan keselamatan makanan dapat dipantau,” katanya.

 

Difahamkan, setakat ini, jumlah sampel yang akan diambil adalah sebanyak 300 sampel.

 

 

“Jika dilihat hasil dari pesampelan tahun 2021, sebanyak 104 jenis makanan telah dihantar ke Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan Butterwoth.

 

“Hasil keputusan mendapati sebanyak 29 sampel (28%) yang terdiri dari kuih- muih, air minuman dan lauk-pauk, telah tercemar dengan bakteria yang boleh mendatangkan kemudaratan kepada manusia.

 

Antara bakteria yang telah dijumpai dalam makanan tersebut adalah Bacillus Cereus, Staphylococcus aures, Coliform, dan E. coli.

 

“(Dan) sekiranya seseorang telah memakan makanan yang tercemar, individu tersebut akan mengalami cirit-birit, demam, terhidrasi dan  boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan dan seterusnya mengancam nyawa,” jelasnya.

 

AZHAR Arshad (dua dari kanan) ditemani Mahamad Sukor Senapi melawat ke reruai jabatan berkaitan di sini.

 

Rentetan itu, kali ini BKKM mengetengahkan pembudayaan Keselamatan Makanan Tanggungjawab Bersama melalui 3M kepada pengguna dan penjual makanan agar lebih memahami kepentingan keselamatan makanan.

Budaya 3M ini iaitu:

  • Mengamalkan MASAK semasa penyediaan iaitu masak dengan sempurna, asingkan peralatan, penggunaan air mentah yang bersih dan menjaga kebersihan diri.
  • Memilih MBC, produk makanan yang ada logo MeSTI, premis makanan yang diiktiraf BeSS (Bersih Selamat dan Sihat) dan katerer yang dipercayai (Trust MyCatering).
  • Melaksanakan KENDIRI iaitu pemeriksaan sendiri di tempat penyediaan makanan.

Melalui pembudayaan 3M, penjual atau pengendali makanan dapat menyediakan makanan yang bersih dan selamat bagi mengelakkan kejadian keracunan makanan.

 

Terdapat dua konsep yang perlu ditekankan kepada pengguna iaitu:

  • Perhati dan pilih : – Perhati dan pilih tempat penyediaan makanan, tempat penjualan makanan, pakaian pengendali makanan dan makanan yang dijual adalah dalam keadaan bersih.
  • Lihat, hidu dan rasa : – Sebelum menikmati juadah samaada berbuka puasa mahupun waktu bersahur bagi mengelakkan berlakunya keracunan makanan.

 

KIT keselamatan Ramadan akan dikongsi secara maya kepada pengunjung dan peniaga melalui imbasan kod QR yang dipaparkan pada kain rentang dan bunting di bazar Ramadan.

Transaksi Tanpa Tunai

 

Dalam perkembangan berkaitan, Azhar memaklumkan bahawa Transformasi Malaysia ke arah Ekonomi Digital semakin diterima dan disambut baik oleh rakyat.

 

Hasil dari ledakan transaksi tanpa tunai, pihak MBSP telah mengambil inisiatif dengan memberi galakan kepada peniaga-peniaga bazar Ramadan untuk menggunakan e-wallet dalam urus niaga.

 

“Transaksi tanpa tunai ini telahpun menjadi amalan dalam kehidupan terkini memandangkan sudah dua tahun kita berdepan dengan wabak COVID-19 dan dalam fasa peralihan kepada endemik dipercayai (kaedah transaksi tanpa tunai ini) tidak lagi menyukarkan pengguna mahupun penjual,” kata Azhar lagi.

 

 

 

ADUAN

Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan atau ingin membuat laporan atau aduan berkaitan keselamatan dan kualiti makanan, sila hubungi Bahagian Keselamatan & Kualiti Makanan, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang di talian 04-217 5100 atau ke laman sesawang https://moh.spab.gov.my.

Bagi memperolehi  informasi terkini, anda boleh layari portal BKKM iaitu  http://fsq.moh.gov.my dan Facebook Bahagian Keselamatan & Kualiti Makanan Pulau Pinang.