Pemasangan lampu baharu tingkat perniagaan penjaja, tarik lebih pengunjung

Admin

PADANG KOTA – Sumbangan peruntukan RM28,200 bagi pemasangan lampu dari Lebuh Chulia ke Lebuh Campbell secara tidak langsung mampu meningkatkan perniagaan 28 gerai penjaja di Tapak Penjaja Statik Lebuh Carnavon.


Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa inisiatif berkaitan adalah bagi memastikan para penjaja yang beroperasi bermula jam 4 petang hingga 12 tengah malam dan ditutup secara bergilir di kawasan terbabit dapat menjalani perniagaan dengan lebih baik.

“Dalam pada itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) juga meneliti cadangan untuk menutup laluan keluar serta masuk ekoran bilangan pengunjung yang semakin ramai.

“Serentak itu, ia juga bagi menjamin keselesaan serta keselamatan pengunjung yang menikmati juadah di situ,” ujarnya pada majlis penyalaan lampu yang dipasang khas pada laluan berkaitan di sini sebentar tadi.

KETUA MENTERI (tengah) menyalakan lampu di tapak penjaja berkaitan sebentar tadi.
SUASANA sekitar tapak penjaja melalui lensa jurugambar yang sempat dirakam.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Ahli-ahli Majlis MBPP, Wong Yuee Harng serta Alan Lim Wei Lun dan Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lebuh Chulia, Lily Wong.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong menyatakan bahawa inisiatif pemasangan lampu berkaitan dilakukan adalah bagi meningkatkan perniagaan para penjaja di kawasan berkaitan.

“Sebagai makluman, sebelum ini, penjaja di sini berniaga di kawasan Lebuh Chulia, namun pihak MBPP telah meminta mereka berpindah ke lokasi ini (Lebuh Carnavon) pada November 2021,” jelasnya.


Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : ALISSALA THIAN