MEMASUKI hari keenam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kebanyakan peniaga dan pengunjung pasar-pasar awam di Seberang Perai dilihat mula mematuhi arahan dikeluarkan Kerajaan Persekutuan.
Tinjauan Buletin Mutiara ke Pasar Bagan Ajam dan Pasar Pagi Apollo dekat Jalan Raja Uda mendapati keadaan lebih terkawal berbanding hari-hari sebelumnya.
Ia selepas pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memasang pita keselamatan dan carta pergerakan selain mengehadkan bilangan pengunjung masuk ke dalam pasar bagi memastikan mereka mengikuti langkah jarak sosial (Social Distancing) sepertimana disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Selain itu, majoriti pengunjung dan peniaga juga mula mengamalkan langkah-langkah pencegahan jangkitan virus dengan memakai topeng muka selain mengekalkan jarak satu meter antara satu sama lain.
Semua jenis gerai penjaja di luar pasar awam milik MBSP khususnya di Pasar Pagi Apollo dilihat akur terhadap arahan penutupan premis yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan berkaitan semalam.
Sementara itu, tinjauan ke Pasar Awam Sri Uda mendapati keadaan lebih terkawal dengan jumlah pengunjung dilihat semakin berkurangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee ketika ditemui berkata, Kerajaan Negeri amat menghargai kerjasama diberikan oleh peniaga dan pengunjung pasar awam dengan mematuhi pelaksanaan PKP dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.
“Pagi ini saya mengunjungi dua pasar awam iaitu Pasar Awam Mak Mandin dan Pasar Awam Sri Uda yang mana kita dapati bilangan mengunjung adalah semakin berkurangan.
“Kita juga memuji sikap bertolak ansur yang ditunjukkan oleh peniaga dengan cara bergilir-gilir membuka premis makanan bagi mengelakkan orang ramai berhimpun di pasar awam,” katanya semasa menjalankan tinjauan di Pasar Awam Sri Uda dekat Bagan Jermal pagi tadi.
Hadir sama, Ahli Majlis bagi MBSP, Khong Chee Seong.
Mengulas lanjut, Lee Chee turut menyeru kepada masyarakat supaya sentiasa menjaga kebersihan dan sentiasa mengekalkan jarak sosial satu meter.
“Pengunjung dan peniaga juga dinasihatkan supaya sentiasa memakai penutup hidung dan kerap mencuci tangan bagi mengelakkan jangkitan virus.
“Kita harap masyarakat boleh memahami keadaan dan bersabar menempuh detik-detik sukar ini. Sekiranya mereka mempunyai sebarang masalah boleh hubungi kita (Pejabat ADUN Bagan Jermal).
Dalam pada itu, Chee Seong memaklumkan bahawa MBSP sentiasa menjalakan pemantauan bagi memastikan penduduk Seberang Perai sentiasa mematuhi pelaksanaan PKP.
Selain itu katanya, MBSP juga akan menjalankan kerja-kerja penyemburan lantai di pasar-pasar awam setiap dua hari sekali bagi membasmi kuman.
“MBSP akan mengambil tindakan sekiranya mendapati masih ada orang awam berkumpul di kawasan yang tidak sepatutnya” ujarnya lagi.
Terdahulu, Kerajaan Persekutuan mengeluarkan arahan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 hingga 31 Mac bagi membendung penularan wabak Covid-19.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS