GEORGE TOWN – Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Pelesenan bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), M. Bawani berharap aspek penjarakan fizikal di tempat awam dapat ditambah baik.
Secara keseluruhannya, beliau berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula pada 10 Jun lalu.
“Dari aspek penjarakan fizikal kita masih menasihati orang ramai untuk mengikut SOP ditetapkan iaitu satu meter, walaupun datang satu keluarga kita boleh juga tambah meja bagi memastikan penjarakan fizikal di premis makanan dipatuhi.
“Untuk pematuhan penjarakan fizikal ini, MBPP masih banyak memberi nasihat dan tunjuk ajar kepada orang ramai, sukar untuk kita keluarkan SOP yang spesifik kerana saiz premis berbeza, meja yang digunakan pun berbeza, jadi penjarakan fizikal ini sedikit mencabar namun MBPP akan teruskan usaha untuk mendidik orang ramai.
“Perkara ini masih boleh ditambah baik juga bagi premis-premis lain, seperti mana kita sedia tahu, penjarakan fizikal ini adalah satu SOP penting namun kadang kala masih ada pihak terlepas pandang,” ujar beliau kepada pemberita dalam satu tinjauan pematuhan SOP melibatkan premis di sekitar George Town semalam.
Sebanyak empat premis makanan dan satu pasar raya dikunjungi dalam pemantauan tersebut antara lainnya bertujuan untuk mendidik pemilik premis dan orang awam.
Sejak PKPP dimulakan pada 10 Jun hingga 9 Ogos, Bawani memaklumkan, MBPP sudah melakukan pemeriksaan ke atas 42,714 premis di seluruh pulau.
Dari jumlah tersebut 42,348 mematuhi SOP ditetapkan di bawah Majlis Keselematan Negara (MKN) manakala 366 didapati tidak patuh.
“Statistik ini menunjukkan pematuhan PKPP bagi kawasan pulau adalah 99.14 peratus… jadi kita akan terus menasihati tuan punya premis dan orang awam untuk sentiasa mematuhi SOP yang dikeluarkan oleh MKN sepanjang tempoh PKPP ini.
“Antara ketidakpatuhan yang kita dapati adalah seperti penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan penyediaan kaunter saringan pemeriksaan suhu.
“MBPP walau bagaimanapun akan teruskan misi menasihati dan mendidik… kerana bila masuk PKPP ini bukan bermakna sudah pulih tetapi kita perlu teruskan pematuhan SOP,” tegas beliau lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS