Pembangunan lestari dicapai melalui pembangunan terancang

Admin

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Bagi memastikan kemajuan Pulau Pinang selaras dengan kepentingan pemuliharaan masa depan alam sekitar, Saintis dan Aktivis Alam Sekitar, Dr. Rajendra Pachauri merumuskan bahawa cabaran Asia dalam pembangunan lestari umumnya boleh dicapai menerusi pembangunan terancang pihak kerajaan.

Beliau yang juga penyelidik diiktiraf pada peringkat antarabangsa menggariskan pendapat tersebut pada ucapannya bersempena penganjuran The Asian Challenge Of Sustainable Development Forum di sini baru-baru ini.

Turut hadir pada majlis anjuran Penang Institute (PI) tersebut adalah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Ketua Pegawai Eksekutif PI, Zairil Khir Johari.

Guan Eng pada majlis tersebut menekankan bahawa betapa pentingnya  menjaga alam sekitar kerana aset tersebut hanyalah pinjaman daripada anak cucu kita.

“Isu alam sekitar pada hari ini telah menjadi satu isu yang amat besar maknanya kepada dunia.

“Seluruh dunia sedar mengenai perubahan iklim yang mendadak. Kami di Pulau Pinang menjadikan pembangunan yang selamat sebagai garis panduan dalam mencapai taraf antarabangsa dengan prinsip Pulau Pinang, Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat yang juga merupakan visi negeri,’’ ucapnya baru-baru ini.

Beliau menjelaskan bahawa Pulau Pinang merupakan negeri pertama berkempen mengurangkan beg plastik dalam negara, malah, turut menegahkan penggunaan plastik dalam kalangan penjaja serta pengguna.

“Sejajar itu, program-program sihat seperti acara-acara sukan berbasikal, larian dan lain turut dianjurkan dengan kerap.

“Terbaru, penganjuran ‘Penang Run’ meliputi empat peringkat saringan. Malah,  Pulau Pinang juga menjadi negeri pertama mewujudkan lorong basikal terpanjang di Malaysia,’’ jelasnya.

Tambah Guan Eng, pembangunan mampan adalah tanggungjawab utama dalam tadbir urus baik bagi menyediakan masa depan yang cerah kepada anak-anak muda negara.