GEORGE TOWN – Usaha pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dan profesional bagi memenuhi permintaan pasaran kerjaya khususnya bidang reka bentuk kejuruteraan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) terus menjadi keutamaan dalam menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi.
Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berkata, cabaran paling getir dihadapi negara kini adalah kekurangan tenaga kerja mahir, dan Pulau Pinang adalah tidak terkecuali.
“Pulau Pinang kini menjadi ‘mangsa’ atas pelbagai kejayaan dan pencapaian cemerlang yang dikecapi.
“Sebagai sebuah negeri perindustrian dengan 95 peratus kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) disumbangkan oleh sektor pembuatan dan perkhidmatan sejak 2008, kekurangan tenaga kerja mahir menjadi masalah utama yang perlu dihadapi,” ucapnya pada Majlis Perasmian Persidangan ARTDO World International Conference O n L e a d e r s h i p & Ta l e n t Development (Persidangan ARTDO) di sini baru-baru ini.
Namun begitu, menurut Guan Eng, meskipun Pulau Pinang adalah sebuah negeri yang tidak mempunyai sumber asli dan galian, ia tidak menghalang negeri ini mencatat pertumbuhan ekonomi antara tertinggi di Malaysia.
“Pulau Pinang mencatatkan nilai pelaburan yang tinggi dalam sektor pembuatan sejak sembilan tahun lepas antara 2008 hingga 2016 dengan nilai pelaburan berjumlah RM59 bilion, iaitu peningkatan 73 peratus berbanding sembilan tahun sebelumnya (1999 – 2007), RM34 bilion.
“Saya juga berbangga apabila Pulau Pinang menjadi hos bagi dua pengeksport tunggal Malaysia yang berada di kedudukan pertama dan kedua, iaitu syarikat Avago Technologies yang menyumbang RM20 bilion eksport tahunan untuk 2017 atau 2.3 peratus keseluruhan eksport negara.
“(Dan) syarikat Broadcom Limited (Broadcom) menyumbang RM70 bilion menjelang tahun 2018, dan Broadcom sahaja menyumbang 8 peratus jumlah eksport tahunan Malaysia.
“Nilai eksport bagi suku pertama (Q1) 2017 juga meningkat 22 peratus dengan nilai RM52.9 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu, RM43.5 bilion dan sektor elektrik dan elektronik (E&E) menjadi penyumbang utama,” jelasnya yang turut meletakkan sasaran sumbangan 30 peratus bagi keseluruhan jumlah eksport negara.
Guan Eng dalam pada itu turut memuji penganjuran Persidangan ARTDO Ke-44 berkaitan kerana memilih Pulau Pinang sebagai lokasi persidangan.
Bertemakan ‘Transforming Leaders and Talents for a Better World’, persidangan antarabangsa tersebut antara lain menjadi medan perkongsian ilmu dalam mendepani cabaran masa kini dengan ledakan teknologi terkini dan transformasi
masa hadapan.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy; Presiden ARTDO International. Isa Abdulla Bu Ali dari Bahrain; Presiden Emeritus ARTDO International, Datuk Dr. Thomas Chee (Malaysia) dan Naib Cancelor Universiti Sains Malaysia (USM), Datuk Dr. Asma Ismail.