PERAI – Dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini, pembangunan industri serta limpahan ekonomi di bahagian Seberang Perai adalah kian seimbang berbanding di bahagian pulau negeri ini, kata Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.
“Pembangunan tertumpu di bahagian pulau bermula sejak 200 tahun dahulu yang mana proses industri dan pembangunan ekonomi juga bermula di bahagian ini (pulau) khususnya apabila wujudnya Zon Industri Bebas di Bayan Lepas.
“Tetapi dalam 20 tahun kebelakangan ini, saya percaya Seberang Perai telah juga meningkat (limpahan) pembangunan dengan lebih terancang khususnya dalam sektor industri iaitu dari kawasan Perai hingga Batu Kawan,” jelasnya pada Majlis Pelancaran Pusat Penang2030 Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai serentak dengan acara Kempen Derma Darah dekat Dewan Serbaguna Taman Chai Leng di sini pada 9 April 2023.
Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi berkata bahawa agensi-agensi negeri seperti Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Invest Penang (IP), ketiga-tiga Pejabat Tanah dan Daerah (di Seberang Perai) serta jabatan-jabatan kerajaan berkaitan mempunyai misi yang penting dalam memastikan pembangunan masa depan di bahagian Seberang Perai dan juga pulau kian seimbang.
“Dalam tempoh 10 tahun ini, kita dapat melihat betapa pesat pembangunan industri di kawasan Batu Kawan, Bukit Minyak di samping tambahan kawasan perindustrian sedia ada seperti di Mak Mandin, Perai, kawasan industri Permatang Tinggi, kawasan industri Bukit Minyak, kawasan industri Valdor, Jawi dan sebagainya,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Malah, baru-baru ini menurut Kon Yeow, Kerajaan Negeri melalui syarikat swasta membuka satu lagi kawasan perindustrian baharu iaitu Penang Technology Park @Bertam dekat kawasan Parlimen Kepala Batas khusus untuk pelaburan industri berteknologi tinggi.
“Kita tahu bahawa dengan pembukaan kawasan industri baharu ini ia akan menjadi pencetus pada industri lain seperti perumahan dan (projek) komersial,” ulasnya lanjut.
Berucap sebelum itu, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy yang juga ADUN Perai berkata bahawa dengan pembukaan Pusat Penang2030 KADUN Perai, ia akan membantu agenda pembangunan peringkat komuniti lokal.
Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), P. David Marshell antara pemimpin negeri yang menyertai majlis perasmian dwi acara tersebut tadi.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : DARWINA MOHD. DAUD