Pembangunan ruang pejabat moden berstatus MSC gabungkan elemen warisan, teknologi

GEORGE TOWN – Dua gudang dan sebuah rumah kedai bangunan warisan di Lebuh Victoria di sini bakal dipulihkan semula sebagai ruang pejabat berstatus MSC moden dengan suntikan dana penuh daripada Kerajaan Negeri berjumlah RM10.3 juta.

Pemuliharaan dua gudang di No. 161 dan 163, serta sebuah rumah kedai (No. 165) adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk memulihara bangunan warisan di dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, projek pemulihan tersebut bakal mengekalkan elemen warisan sedia ada di samping menggabungkannya kepada teknologi moden.

“Projek pemulihan ini pastinya akan menjadi pemangkin kepada Industri 4.0 dan membantu memacu pemuliharaan serta pemulihan semula lokasi ini dengan gabungan elemen masa lalu, sekarang dan juga masa hadapan.

“Dengan menggabungkan teknologi dan warisan, kita (Kerajaan Negeri) dapat memajukan Pulau Pinang menjadi sebuah bandar pintar bermaklumat ke arah Revolusi Perindustrian 4.0 memfokuskan kepada Big Data Analysis, Pengkomputeran Awan dan Internet of Things (IoT).

“Selaras itu, PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) selaku Pengurus Projek telah menyesuaikan penggunaan semula bangunan berusia lebih 100 tahun ini kepada sebuah pejabat berstatus MSC dengan kelengkapan infrastruktur moden,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Kerja – kerja Pemuliharaan dan Tukar Guna Gudang dekat Lebuh Victoria di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon dan Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar.

Difahamkan, kerja-kerja di tapak kini telah mencapai 13 peratus dan ia dijangka siap sepenuhnya pada 26 September 2018 dengan ruangan lantai akan meningkat kepada 1,223.8 meter persegi selepas pemulihan berbanding 847.11 meter persegi sebelumnya.

Tambah Guan Eng, projek pemulihan di Lebuh Victoria tersebut adalah projek kedua di dalam Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town selepas pembangunan semula Wisma Yap Chor Ee sebagai pusat sains.

“ Kebanyakan daripada komuniti kreatif sememangnya gemarkan persekitaran yang unik dan mempunyai elemen warisan sebegini,” jelasnya.