Pembekalan air secara berterusan, tanggungjawab dan amanah berat dipikul

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyifatkan bahawa Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjadi lebih proaktif, profesional, inovatif dan berorientasikan hasil atau ‘result oriented’ walaupun berdepan dengan beberapa krisis luar jangka.

 

 

Menurut beliau, perkara yang perlu diingat bahawa seluruh isi rumah dan perusahaan di Pulau Pinang memerlukan air setiap hari sebagai keperluan hidup serta menjalankan operasi perniagaan secara harian.

 


“Oleh itu, rakyat Pulau Pinang bergantung kepada PBAPP untuk membekalkan air secara berterusan pada setiap masa, 24 jam (tujuh) hari seminggu yang mana ia tentunya tanggungjawab dan amanah berat untuk dipikul, oleh itu, terima kasih saya ucapkan.

 

 

“Ketika berlakunya krisis air yang melanda negeri pada tahun ini iaitu apabila berhadapan dengan impak insiden penurunan mendadak paras air Sungai Muda, saya melihat sendiri warga PBAPP bertungkus-lumus bagi memastikan bekalan air tetap disalurkan kepada rakyat dan pada masa sama, saya difahamkan bahawa PBAPP tetap melayani setiap maklum balas dengan sabar serta professional.

 

 

“Seterusnya, pada September lalu, insiden air bah di Baling, Kedah sekali lagi menyebabkan kekeruhan air tinggi yang mana sekaligus memaksa Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua mengurangkan pengeluaran air terawat kepada pengguna-pengguna air di Pulau Pinang sebanyak 30 peratus iaitu daripada purata 1,019 MLD kepada 715 MLD,” ujarnya pada Malam Anugerah Khidmat Setia PBAPP 2023 di sini sebentar tadi.

 


Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I merangkap Timbalan Pengerusi Kumpulan Syarikat PBAPP, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Syarikat PBAPP, Dato’ Rosli Isa; Pegawai Kewangan Negeri merangkap Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Syarikat PBAPP, Dato’ Zabidah Safar; Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, Ir. K. Patmanathan dan Ahli-ahli Lembaga Pengarah PBAPP lain.

 

 

Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP menzahirkan rasa bangga melihat PBAPP yang juga berjaya merangkul banyak pengiktirafan serta anugerah dalam peringkat negeri, kebangsaan malah antarabangsa sejak tahun 1999 di samping masih mampu memberikan dividen kepada pemegang-pemegang saham secara tahunan iaitu selama 22 tahun berturut-turut.

 

 

“Adalah jelas bahawa matlamat utama PBAPP adalah untuk memastikan perkhidmatan bekalan air yang berterusan di Pulau Pinang, tanpa pencatuan air dan dengan tarif munasabah.

 

 

 

“Saya berharap agar ia akan terus menjadi indeks petunjuk prestasi (KPI) paling kritikal untuk PBAPP pada masa akan datang.

 

 

“Oleh itu, bagi pihak rakyat Pulau Pinang, saya ingin mengambil kesempatan pada malam ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua warga PBAPP atas komitmen untuk khidmat awam baik, terutama kakitangan yang telah setia kepada PBAPP serta Pulau Pinang selama berpuluh-puluh tahun.

 


Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi turut menyeru PBAPP meningkatkan tahap komunikasi bersama rakyat terutamanya ketika berdepan krisis.

 

 

Pada majlis tersebut seramai 10 kakitangan PBAPP yang berkhidmat selama 25 dan 30 tahun menerima sijil penghargaan khidmat setia dan Sijil Simpanan Premium.

 


Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SIEW CHIA EN