GEORGE TOWN – Sejak 2013 sehingga kini, Kerajaan Negeri telah memperuntukkan RM16.56 juta sebagai insentif kepada para pemandu teksi, kereta sewa dan pengusaha bas sekolah di negeri ini.
Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata, pemberian insentif sebanyak RM600 setiap seorang itu adalah sebagai mengiktiraf perkhidmatan dan sumbangan mereka selama ini.
“Jumlah kumulatif bantuan kewangan sebanyak RM600 ini adalah berbentuk tunai yang mana pembayaran dilakukan sebanyak dua (2) kali setahun sempena Tahun Baru Cina dan Hari Raya Aidilfitri, namun sejak pandemik COVID-19 melanda pembayaran telah dilaksanakan secara bayaran terus ke akaun melalui Electronic Fund Transfer (EFT).
“Kini, mod bayaran insentif ini telah dinaik taraf dengan menggunakan sistem iSejahtera, secara tidak langsung pemohon perlu memohon secara dalam talian sahaja tanpa perlu mengemukakan borang permohonan dan lain-lain dokumen secara fizikal,” ujarnya semasa sidang media pemberian insentif berkaitan di Komtar pagi tadi.
Hadir sama, Pengerusi Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Pemandu Kereta Sewa Negeri Pulau Pinang, Mohamad Shahimi Hadzri; Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Pulau Pinang, Ang Beng Teong dan Pengerusi Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Seberang Perai, Tan Chin Lee serta wakil-wakil persatuan lain-lain.
Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Bunga, berharap sumbangan insentif ini dapat mengurangkan beban yang dihadapi oleh pemandu teksi dan kereta sewa serta pengusaha bas sekolah di Pulau Pinang.
“Sebagai duta kecil kepada Kerajaan Negeri diharapkan semua pemandu teksi dapat menjaga imej baik Pulau Pinang terutama ketika membawa pelancong dari dalam dan luar negara memandangkan pintu sempadan juga telah dibuka dan sektor pelancongan semakin rancak.
“Di samping itu, diharapkan insentif yang telah diberi ini digunakan secara berhemah untuk membantu keluarga dan meringankan beban pemandu teksi, pemandu kereta sewa dan pengusaha bas sekolah dalam urusan seharian,” katanya.
Dalam sesi yang sama, pemberita turut berkesempatan menemu bual beberapa penerima insentif antaranya Penolong Setiausaha Gabungan Persatuan Teksi dan Kereta Sewa Pulau Pinang, ABDUL AZIZ MOHAMAD MYDIN.
“Bagi sesetengah orang mungkin amaun RM600 tidak mencukupi untuk perbelanjaan, tapi bagi kami (pemandu teksi dan kereta sewa) ia sangat bertepatan dan dianggap sebagai ‘duit tepi’ bagi memenuhi keperluan serta perbelanjaan.
“Ditambah pula dengan penyaluran setiap dua kali setahun terutamanya semasa sambutan perayaan, tidak dinafikan ia sangat meringankan beban kami semua,” jelasnya lanjut.
Bagi Pengerusi Koperasi Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Melayu Pulau Pinang, MOHAMAD YUSOFF SIBRAHIM pula memuji inisiatif Kerajaan Negeri yang tidak putus-putus menyalurkan bantuan kepada para pemandu.
“Saya amat bersyukur dengan keprihatinan Kerajaan Negeri kerana tidak meminggirkan kami.
“Sudah tentu seperti tahun-tahun sebelumnya, pemberian insentif ini bakal dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dan diharapkan inisiatif ini diteruskan pada masa akan datang juga,” ulasnya yang sudah berkhidmat sebagai pemandu teksi selama 15 tahun.
Seorang lagi penerima, yang mahu dikenali sebagai BENG TEONG, turut menyifatkan hanya di negeri ini pemberian insentif disalurkan kepada pengusaha bas sekolah sepertinya.
“Sebagai pengusaha bas sekolah, saya berasa inisiatif ini sangat bertepatan serta meringankan beban kami semua, ribuan terima kasih diucapkan kepada Kerajaan Negeri,” responnya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT