TERGOLONG dalam perkhidmatan penting (essential service) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa, Pembantu Awam di Jabatan Perkhidmatan Perbandaran (JPP) Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akur akan tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka dengan hati terbuka.
Wira-wira barisan hadapan ini mungkin dipandang sepi oleh segelintir masyarakat, namun jasa mereka dalam memastikan kemudahan dan peralatan di sekitar pasar awam di disinfeksi secara berkala supaya bebas daripada wabak COVID-19, wajar dipuji.
Wartawan Buletin Mutiara, NORSHAHIDA YUSOFF, Jurugambar, LAW SUUN TING dan Juruvideo, ALISSALA THIAN cuba mendekati wira-wira ini bagi mengupas cabaran yang dihadapi mereka ketika menjalankan tugas sepanjang PKP berkuatkuasa sejak 18 Mac lalu.
Bagi Pembantu Awam JPP MBPP, MUHD. SAUFY OTHMAN ketika ditemui berkata, meskipun sedar risiko terdedah kepada wabak COVID-19 amat tinggi ekoran beliau dan rakan-rakannya bertugas seharian di Pasar Awam Jalan Perak, namun demi keselamatan rakyat dan orang awam mereka tetap melaksanakannya dengan penuh tanggungjawab.
“Memang agak susah, tugas macam kami terdedah kerana kawasan ini (pasar) lebih banyak virus.
“Namun, kami akur dan percaya dengan kelengkapan keselamatan yang disediakan seperti pelitup muka, pensanitasi tangan dan sarung tangan, insyaAllah ia dapat dihindari.
“Kami sentiasa mengutamakan keselamatan dan langkah-langkah pencegahan terutamanya ketika melakukan tugas… contohnya selain disinfeksi peralatan di sini seperti pagar, pemegang tangan (hand rail) dan pasar basah, kadang-kala terpaksa juga mengutip pelitup muka, sarung tangan yang dibuang orang awam selain sampah.
“Ia (pelitup muka dan sarung tangan) juga ada kuman, maka kami memang kutip dan buangnya dengan hati-hati,” ujarnya.
Justeru, MUHD. AZIM RIZUAN yang juga Pembantu Awam JPP berharap masyarakat dapat menanamkan kesedaran dalam diri masing-masing tentang peri penting membuang pelindung keselamatan tersebut dengan cara betul.
“Jika orang awam mudahkan kerja kami dengan membuangnya ke dalam tong sampah yang disediakan, ia sedikit sebanyak membantu memudah serta mempercepatkan tugas… bukan sewenang-wenang buangkannya di atas jalan atau kawasan sekitar kerana ia mengandungi kuman.
“Diharap masyarakat ada kesedaran sebagaimana mereka amat mementingkan keselamatan dengan memakai pelitup muka, maka mereka juga perlu tanamkan dalam diri untuk bertanggungjawab ke atasnya,” ujarnya sambil berkata bahawa setiap hari beliau akan membersihkan diri dan mengasingkan pakaian kerja terlebih dahulu sebelum bersama dengan keluarga.
Bagi MUHAMMAD FAISAL AYUB, mewakili rakan-rakannya, beliau tidak lupa menzahirkan ucapan terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri khususnya di atas sumbangan insentif RM300 kepada wira barisan hadapan dan beberapa bantuan hidup lain di peringkat Persekutuan.
“Terima kasih Kerajaan Negeri di atas keprihatinan kepada kami,” ujarnya ringkas.
Difahamkan, sepanjang perintah PKP dilaksanakan sejak 18 Mac lalu bagi memerangi penularan wabak COVID-19, JPP menempatkan seorang pembantu kesihatan awam, dibantu mandor (1) dan pembantu awam (5) pada setiap hari berbanding hari biasa (sebelum pelaksanaan PKP) di antara enam hingga 10 pembantu awam di Pasar Awam Jalan Perak tersebut
Menurut Pembantu Kesihatan Awam Kanan, KHOO ENG CHONG, cabaran utama sepanjang tempoh ini adalah kekurangan kakitangan (pembantu awam) ekoran perintah PKP dan pertambahan penggunaan beg plastik dalam kalangan orang awam.
Jelasnya, ekoran kekurangan kakitangan yang bertugas pada setiap hari, maka pekerja harian perlu melakukan tugas dua kali ganda berbanding sebelum ini.
“Pembantu kesihatan awam dan mandor yang bertugas perlu mengatur orang (kakitangan) dengan efektif memandangkan sehari di antara lima orang sahaja akan bertugas.
“Mereka akan mulakan tugas seawal 6.30 pagi dan habis paling awal pun 4.30 petang baru selesai tugas keseluruhannya… sepanjang tempoh pasar beroperasi (6.30 pagi hingga 12 tengah hari) mereka akan melakukan disinfeksi secara berkala iaitu mengelap peralatan sejam sekali.
“Sesudah pasar tutup dan orang awam lengang, mereka akan mula membasuh pasar basah dengan air dan kemudiannya melakukan disinfeksi keseluruhan pasar dengan menggunakan teknik semburan…. kemudiannya barulah buat tugasan pembersihan seperti sapu jalan dan cuci longkang seperti biasa.
“Bagi saya JPP bukannya Jabatan Perkhidmatan Perbandaran tapi ‘Jabatan Paling Penting’,” seloroh beliau sambil mengucapkan rasa bangganya ekoran mempunyai satu kumpulan pekerja yang berdedikasi, bertanggungjawab, ringan tulang dan sentiasa bersedia melakukan tugas jika diarahkan tanpa sebarang rungutan.
Mengulas lanjut berhubung pertambahan penggunaan beg plastik sewaktu tempoh pelaksanaan PKP, Eng Chong menyarankan agar masyarakat membawa bekas makanan ataupun beg kitar semula sendiri.
“Sejak PKP, semua makanan harus dibungkus balik, ini membawa kepada pertambahan beg plastik, justeru saya sarankan kepada masyarakat agar membawa tiffin, sia atau bekas makanan mereka sendiri jika ingin membeli makanan di luar.
“Manakala, bagi yang ingin ke pasar atau pasar raya bawalah beg kitar semula, saya tahu ini adalah waktu sukar untuk semua orang, tp dengan kerjasama kita boleh lakukannya,” ujarnya.