Pembesaran PIA dilaksana melalui inisiatif pembiayaan swasta – Guan Eng

Admin

AIR PUTIH – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata kerja-kerja pembesaran dan menaik taraf Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) bagi menampung peningkatan jumlah penumpang akan dilaksanakan melalui inisiatif pembiayaan swasta (PFI).

Katanya, inisiatif tersebut bukan sahaja lebih efisien malah mampu menjimatkan kos.

“Kos pembesaran PIA melebihi RM1.2 bilion akan dibiayai menggunakan dana swasta kerana kerajaan masih kekurangan dana.

“Projek ini akan dibuat secara tender terbuka dan diharap prosesnya dapat dimulakan pada tahun ini,” katanya pada sidang media dekat Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, model sama juga akan diguna pakai untuk lapangan terbang yang lain pada masa akan datang dalam usaha untuk menjimatkan kos.

“Pelaksanaan projek-projek ini amat penting dalam menarik lebih ramai pelancong dan membangunkan ekonomi untuk rakyat khususnya yang terlibat dalam sektor pelancongan.

“Contohnya apabila Qatar Airways melakukan penerbangan secara langsung dari Doha ke Pulau Pinang, kita boleh lihat berlaku peningkatan jumlah penumpang bukan sahaja dari Timur Tengah tetapi juga dari negara-negara lain,” katanya lagi.

Terdahulu, Guan Eng ditemani isterinya, Betty Chew Gek Cheng serta Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai mengedarkan bunga kepada kaum wanita di sekitar kawasan Air Putih sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia yang bakal diraikan 8 Mac ini.

Teks : SUNARTI YUSOFF
Gambar : EDMUND LEE