Pembesaran PIA, keputusan permohonan dijangka suku keempat 2017 – Hock Seng

Admin

GEORGE TOWN – Keputusan bagi permohonan pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dijangka akan diperoleh pada suku keempat tahun ini.

Kenyataan tersebut dinyatakan Exco Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng bagi menjawab soalan dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Dato’ Mohd. Salleh Man dan ADUN Paya
Terubong, Yeoh Soon Hin pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-13 di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri telah membuat permohonan melalui Rolling Plan 3, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) tahun ini.

“Perkara ini sudahpun disuarakan kepada Kementerian Pengangkutan (MOT), dan diharap ia dapat pertimbangan segera memandangkan PIA telah mencecah kapasiti maksimum 6.5 juta penumpang tahun lalu.

“Perancangan untuk menaik taraf PIA ini adalah supaya dapat menampung kapasiti sehingga 10 juta penumpang setahun berbanding kapasiti sedia ada,” jelasnya.

Kali terakhir lapangan terbang itu dinaik taraf adalah pada 2012 dengan kos RM250 juta bagi menambah kemampuannya mengendalikan 5.0 juta penumpang daripada 3.5 juta penumpang sahaja sebelumnya.