GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyatakan bahawa pentadbirannya berharap pembiayaan program saringan massa COVID-19 terhadap kira-kira 600 penjaja kecil di Pasar Awam Chowrasta dan Pasar Awam Lebuh Cecil dapat membantu golongan berkenaan kembali berniaga dalam keadaan sihat serta selamat.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong berkata demikian semasa mengadakan lawatan ke tapak program saringan massa tersebut di Pasar Chowrasta petang tadi.
Turut mengiringi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Pengarah Bahagian Pelesenan MBPP, Rashidah Jalaludin.
“Saya berasa gembira kerana program saringan (massa COVID-19) boleh dilakukan terlebih dahulu, yang mana pasar-pasar awam ditutup sebelum ini, boleh kembali dibuka.
“SOP (prosedur operasi standard) ini bukan untuk menyusahkan para penggerai, tetapi program saringan massa yang dijalankan memang suatu strategi yang penting bagi mengawal pandemik (COVID-19) daripada risiko perebakan,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi kepada di sini pada 15 September.
Dengan program saringan massa itu juga, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota berharap mereka yang dikesan positif COVID-19 serta ada kontak rapat boleh menjalani langkah perawatan selanjutnya secepat mungkin, sama ada menjalani kuarantin di rumah atau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) ataupun terus dikejarkan ke hospital jika berisiko tinggi.
Bercakap pada sidang media sama, Lai Heng serta Zi Sen merakamkan penghargaan atas kecaknaan Pejabat Ketua Menteri membiayai kos program saringan massa tersebut, demi membolehkan permohonan membuka semula operasi kedua-dua pasar awam kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) dapat disegerakan untuk dipertimbangkan.
Dalam pada itu, Rashidah memberitahu bahawa had pengunjung berada dalam kedua-dua pasar awam tersebut pada satu-satu masa hanya 80 orang mengikut SOP sekiranya kedua-dua premis berkenaan dibenarkan mula beroperasi pada Selasa depan.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : LAW SUUN TING
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD