Pembida berkelayakan dipelawa ambil bahagian dalam penyediaan sistem Tempat Letak Kereta Secara Pintar

Admin

GEORGE TOWN – Pembida-pembida yang berkelayakan dipelawa mengambil bahagian dalam proses Request For Proposal (RFP) untuk penyediaan sistem Tempat Letak Kereta Secara Pintar (Smart Parking) di negeri ini, kata Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo.

Jelasnya, sistem berkenaan akan dilaksanakan  Kerajaan Negeri sebagai salah satu usaha untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah bandar raya pintar pada masa akan datang.

“Cadangan sistem ini merangkumi dua kawasan pentadbiran iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di bahagian pulau dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di bahagian seberang.

“Pada masa ini MBPP dan MPSP mengguna pakai sistem prabayar elektronik dan sistem kupon dalam mengurus dan mengawal selia tempat letak kereta.

“Oleh itu, pelawaan RFP ini bertujuan untuk menambah baik sistem pengurusan tempat letak kereta di Pulau Pinang sekaligus merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan negeri ini sebagai sebuah Bandar Pintar Bertaraf Antarabangsa,” ujarnya pada sidang media dekat Komtar, di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Datuk Bandar MBPP, Ar. Yew Tung Seang; Yang di-Pertua MPSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tengah, Gooi Hsiao-Leung; Lee Khai Loon (ADUN Machang Bubuk); Ong Ah Teong (ADUN Batu Lancang) serta Pengarah Kejuruteraan MBPP, Ir. A. Rajendran.

Tambah Jagdeep, projek berkenaan adalah melibatkan dua kategori tempat letak kereta iaitu tempat letak kereta atas jalan dan tempat letak kereta terbuka.

“(Dan) jumlah petak tempat letak kereta yang terlibat dalam projek ini adalah sebanyak 12,000 di bahagian pulau (di bawah MBPP) dan 24,000 di Seberang Perai (di bawah MPSP).

“Jadi saya mempelawa mereka yang berminat untuk membida dan mengambil bahagian dalam proses RFP ini untuk membantu Kerajaan Negeri dalam mencapai hasrat sebagai sebuah bandar raya pintar,” ujarnya lagi.

Difahamkan, pelawaan RFP ini dibuka sejak 12 Julai lalu sehingga 13 Ogos depan iaitu selama sebulan dari tarikh taklimat kepada pembida-pembida.

Taklimat kepada pembida-pembida berminat  akan diadakan pada 30 Julai depan dekat Auditorium F, Aras 5, Komtar pada jam 10.00 pagi.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : ALISSALA THIAN