Pembida berkelayakan dipelawa ambil bahagian dalam proses RFP Cadangan Pembangunan dan Pengurusan Akademi Badminton Pulau Pinang

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang mempelawa pembida-pembida berkelayakan untuk mengambil bahagian dalam proses Request For Proposal (RFP) Cadangan Pembangunan dan Pengurusan Akademi Badminton Pulau Pinang.

 

Menurut Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee, RFP pembangunan akademi tersebut di atas lot PT 214 dan PT 217, Seksyen 8, Sungai Pinang, George Town telah mula diiklankan pada 3 Februari dan akan ditutup pada 2 April 2020.

 

“Dokumen dan maklumat RFP ini telah diiklankan melalui Portal Sistem Perolehan Negeri (sysP) dan Portal Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

 

“Akademi ini akan dibangunkan di atas dua bidang tanah berkeluasan 3.2 ekar yang terletak bersebelahan di antara satu sama lain yang mana ia terbahagi dengan laluan jalan menuju ke Fisherman’s Wharf, Sungai Pinang,” ujarnya pada sidang media dekat Komtar, di sini sebentar tadi.

 

Hadir sama, ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N. Rayer dan Timbalan Pengurus Besar Unit Perbadanan Ketua Menteri (CMI) S. Barathi.

 

Mengulas lanjut berhubung konsep pembangunan, Lip Chee memberitahu bahawa pembida boleh membangun serta menguruskan akademi tersebut dengan kerjasama akademi jaguh-jaguh badminton dari dalam mahupun luar negara yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan.

 

“Pembida boleh juga bekerjasama dengan akademi-akademi  sedia ada yang mempunyai pengalaman serta kapakaran dalam bidang sukan badminton ini.

 

“Diharap Akademi Badminton Pulau Pinang ini akan menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang terkenal dengan sukan badminton,” ujarnya yang juga Ahli Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

 

Bagi memaksimumkan potensi kawasan tersebut dan memberikan pulangan manfaat kepada rakyat, Lip Chee berkata bahawa pembida perlu menyediakan strategi pemasaran terperinci.

 

“Mereka perlu nyatakan secara terperinci pulangan kepada Kerajaan Negeri termasuklah peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan serta penglibatan kontraktor dan pembekal tempatan,” ujarnya lanjut sambil menambah bahawa para pembida dikehendaki menghadiri lawatan tapak sebelum 2 April depan.

 

Untuk mendapatkan keterangan lanjut, sila hubungi CMI di talian 04-650 5680 / 5679.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

 

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD