Pembinaan jalan pintasan dari Bandar Tasek Mutiara ke Jalan Hijauan Hills diteruskan – Ketua Menteri

Admin
a5598bc7 8354 4c28 83ca dd25753fae77

SUNGAI BAKAP – Kerajaan Negeri sentiasa mengambil serius terhadap isu pembinaan jalan yang menyambungkan Bandar Tasek Mutiara dan Jalan Hijauan Hills demi memanfaatkan penduduk di kawasan berkenaan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Mahkamah Tinggi Pulau Pinang telah menolak pemohonan semakan kehakiman (iaitu) dua permohonan semakan kehakiman oleh pihak pemaju.

“Disebabkan pihak pemaju enggan menyerahkan tanah kepada Kerajaan Negeri, maka kita terpaksa menggunakan akta pengambilan tanah untuk mengambil tanah ini daripada pihak pemaju.

“(Dan) pihak Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan untuk penangguhan tindakan (pengambilan tanah tersebut), maka kerja-kerja pengambilan tanah boleh dilaksanakan.

“Sebagai makluman, keputusan mahkamah membolehkan cadangan pengambilan tanah sebahagian Lot 25706, Mukim 15, Daerah SPS seluas 0.470 hektar iaitu bagi tujuan pembinaan jalan pintasan dari Jalan Tasek Mutiara 10 ke Jalan Hijauan Hills,” ujarnya semasa sesi perjumpaan bersama-sama Persatuan Penduduk Kepala Gajah (PPKG) dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; wakil-wakil dari Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Selatan serta Pengerusi PPKG, Tan Chor Soon.

25bc1797 b696 4dbb b0ad b7c64b68be89
CHOW Kon Yeow semasa sesi ucaptama sebentar tadi.

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi turut menasihati PPKG untuk membuat permohonan baru khusus untuk pembangunan sekitar Pusat Latihan dan Pameran ‘Upcycle’ PPKG.

“PPKG amat aktif dan sentiasa memenangi pelbagai anugerah, sudah tentu memerlukan ruang yang lebih besar dalam menjalankan pelbagai penganjuran aktiviti.

“Susulan penolakan permohonan gelanggang bola keranjang, pihak (Kerajaan Negeri) menasihatkan PPKG untuk membuat semula permohonan serta meminta persetujuan daripada Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri terlebih dahulu, diikuti persetujuan serta pertimbangan pihak-pihak seterusnya dalam meluluskan (permohonan) berkenaan.

“Berhubung isu sama juga, bagi persatuan tokong yang ingin mendapatkan status tanah yang sahih mengikut undang-undang juga perlu mengaplikasikan proses yang sama,” jelasnya sambil berharap pihak berkenaan mengikut prosedur ditetapkan.

3874608c 1766 44f6 8573 a62b21aeea8b

4f129d1d 657b 44fa 92fe 0b2655d7e877
ANTARA anugerah dan aktiviti dijalankan Persatuan Penduduk Kepala Gajak (PPKG) dekat sini.

Dalam isu berkaitan, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan turut menyatakan bahawa Kerajaan Negeri giat melaksanakan beberapa perancangan berkaitan projek penguraian trafik di kawasan SPS dan Seberang Perai Tengah (SPT) yang semakin meruncing.

“Ada beberapa rancangan dan kajian sedang dilaksanakan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) dan kita berharap setiap projek mendapat kelulusan dalam Rancangan Malaysia yang seterusnya,” ulasnya lanjut.

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : ALISSALA THIAN