Pembinaan longkang baharu kurangkan risiko banjir di Medan Batu Maung

BATU MAUNG – Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain berharap, pembinaan longkang di Medan Batu Maung dapat mengurangkan risiko banjir di kawasan tersebut.

 

Jelasnya, sebelum ini beliau kerap menerima aduan penduduk setempat berhubung banjir kilat di Medan Maung yang dipercayai akibat dari pembinaan asrama pekerja di kawasan bersebelahan.

 

“Hari ini lebih dari 90 peratus projek perparitan sepanjang 110meter bernilai RM80,000 ini siap, cuma sedikit lagi untuk disiapkan iaitu penanaman rumput di tebing.

 

“Terima kasih saya ucapkan kepada OHM Group Sdn. Bhd. yang mengambil tanggungjawab agar isu banjir di Medan Batu Maung dapat diselesaikan,” ujar Abdul Halim ketika melakukan lawatan tapak ke Medan Batu Maung pagi tadi.

Hadir sama, Pengarah Eksekutif OHM Group Sdn. Bhd., Ong Soo Yong dan wakil dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Daerah Barat Daya serta Jabatan Perkhidmatan Perbandaran (JPP) Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

 

Mengulas lanjut, Abdul Halim menyatakan projek seumpana itu merupakan satu usaha ke arah kesejahteraan dan kemakmuran setempat atas semangat kejiranaan.

 

 

“Dari sini kita dapat lihat projek seperti ini bukan sahaja tanggungjawab badan kerajaan, malah boleh dipikul bersama oleh pihak swasta bagi menjamin kesejahteraan dan kemakmuran hidup bermasyarakat di kawasan setempat.

 

 

“Kita juga bawa wakil-wakil dari JPS dan MBPP untuk memaklumkan mengenai pembinaan parit baharu ini sebagai ‘penyerahan’ untuk diselenggara di masa akan datang,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD