Pembinaan Masjid Lama Sungai Bakap jangka mula November ini

Admin
img 20240625 wa0027

SUNGAI BAKAP – Projek pembinaan masjid baharu di atas tapak asal Masjid Lama Sungai Bakap di sini dijangka dapat dimulakan pada awal November ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa projek yang membabitkan kos RM20 juta kini berada pada proses tender untuk melantik kontraktor yang layak.

“Lawatan tapak telah diadakan pada 20 Jun lepas dan lantikan kontraktor pula dijangka dapat dibuat pada Oktober ini manakala kerja-kerja pembinaan dijangka boleh dimulakan pada November 2024.

“Projek ini dijangka mengambil masa kira-kira dua tahun untuk disiapkan,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika mengadakan lawatan ke tapak pembinaan Masjid Lama Sungai Bakap di sini sebentar tadi.

img 20240625 wa0039

img 20240625 wa0053

img 20240625 wa0035

img 20240625 wa0018

img 20240625 wa0010

img 20240625 wa0007

Turut hadir, Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato Seri S. Sundarajoo; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Gooh Choon Aik; Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Heng Yeh Shiuan dan Ngoh Cheng Hai; Setiausaha Sulit Kanan kepada Ketua Menteri, Mohd. Balkish Othman dan calon Pakatan Harapan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, Dr. Joohari Ariffin

Mengulas mengenai peruntukan keseluruhan bagi pembinaan masjid tersebut, Kon Yeow memberitahu bahawa sejumlah RM6 juta telah diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi membiayai sebahagian daripada kos projek.

“Sejumlah RM9 juta adalah disalurkan oleh Kerajaan Persekutuan manakala baki selebihnya daripada sumbangan kariah setempat,” katanya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Selepas mengadakan sidang media, Kon Yeow dan barisan kepimpinan Kerajaan Negeri turut menyantuni peniaga dan komuniti setempat.

Pada 16 Julai lepas, Majlis Peluncuran Projek Pembinaan Masjid Lama Sungai Bakap telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Y.A.B Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim sempena lawatan rasmi beliau ke negeri ini.

Difahamkan, pembangunan semula Masjid Lama Sungai Bakap merupakan satu daripada tujuh buah masjid di negeri ini yang membabitkan peruntukan kesuruhan daripada Kerajaan Negeri Pulau Pinang keseluruhannya sebanyak RM18 juta.

Selain Masjid Lama Sungai Bakap, enam masjid lain yang terlibat dalam pelan pembangunan adalah Masjid Papan di Seberang Jaya; Masjid Sungai Lokan dan Masjid Sungai Dua Utama di Butterworth; Masjid Bandar Raya Seberang Perai di Bandar Cassia; Masjid Lama Sungai Kechil di Nibong Tebal serta Masjid Bandar Putra Bertam di Bertam.

Terdahulu, Kon Yeow yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan turut meluangkan masa beramah mesra dengan para peniaga dan pengunjung di kedai kopi Kim Han, Jalan Badak Mati.

Oleh : SUNARTI YUSOFF & WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI & SIEW CHIA EN
Video : ALISSALA THIAN & AHMAD ADIL MUHAMAD