SEBERANG JAYA – Projek pembinaan Pasar Awam Bukit Mertajam yang membabitkan peruntukan sebanyak RM24 juta dana Kerajaan Persekutuan dijangka akan dimulakan pada September ini.
Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata projek yang dijangka mengambil masa kira-kira tiga tahun untuk disiapkan itu bakal menjadi mercu tanda baharu bagi negeri Pulau Pinang apabila siap kelak.
“Walau bagaimanapun, saya sarankan agar projek pembinaan semula Pasar Awam Bukit Mertajam ini dapat dimulakan dengan segera supaya dapat disiapkan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Projek ini akan terdiri daripada lima komponen iaitu bangunan utama, tempat letak kereta termasuk kawasan berbumbung, lintasan pejalan kaki, landskap dan infrastruktur yang lebih baik, selamat dan selesa kepada lebih peniaga dan pengunjung.
“Saya yakin MBSP akan bertungkus-lumus untuk memastikan projek ini disiapkan sepenuhnya dan memberi manfaat kepada lebih 400 peniaga di perkarangan Pasar Awam Bukit Mertajam.
“Dengan siapnya mercu tanda baru ini akan menjadi satu lagi tarikan pelancongan di negara ini khususnya sempena Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan Reka Bentuk Pasar Awam Bukit Mertajam dekat Menara Bandaraya MBSP dekat sini sebentar tadi.
Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Belia, Sukan dan Kesihatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Danial Gooi Zi Sen; Ketua Setiausaha KPKT, Datuk Wira M Noor Azman Taib; ADUN Machang Bubok, Lee Khai Loon; Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arsyad; Presiden PAM, Ar. Abu Zarim Abu Bakar; Ahli Majlis MBSP dan Setiausaha Bandaraya MBSP, Baderul Amin Abdul Hamid serta ramai lagi.
Kor Ming berkata, Pasar Awam Bukit Mertajam merupakan pasar awam pertama di negara ini dibangunkan melalui kaedah pertandingan reka bentuk yang dianjurkan bersama di antara Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Persatuan Arkitek Malaysia (PAM).
“Ini merupakan lembaran baru dalam sejarah pembangunan prasarana awam di negara kita yang mana buat pertama kalinya pertandingan terbuka kepada semua pihak yang berminat didakan untuk mendapatkan reka bentuk terbaik bagi pembinaan pasar awam.
“Kita buka pertandingan ini selama dua bulan dan berjaya menarik 75 penyertaan dan akhirnya 10 pemenang telah dipilih melalui saringan yang cukup sengit, telus dan terbuka.
“Hari ini kita saksikan pemenang akan diberikan tanggungjawab sebagai jururunding bagi projek ini bagi memastikan cetusan idea tersebut diimplementasikan dengan sebaiknya.
“Projek ini juga membuktikan bahawa Kerajaan Malaysia Madani dengan inisiatif yang penuh inovatif terus melangkah ke depan dan komited untuk meningkatkan kualiti prasarana awam serta membela nasib rakyat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa KPKT akan menyediakan RM110 juta dana khas untuk menaik taraf pasar-pasar awam di seluruh negara.
“Kita harap mulai hari ini mana-mana pembinaan semula pasar awam baru berskala besar seperti Pasar Awam Bukit Mertajam akan mengamalkan modus operandi yang sama iaitu pertandingan reka bentuk secara terbuka.
“Bayangkan dalam tempoh 10 tahun akan datang, pasar-pasar awam di Malaysia mempunyai ciri-ciri tersendiri yang istimewa, menarik dan berpotensi dibangunkan sebagai destinasi pelancongan,” katanya lagi.
Sementara itu, Mooi Lye dalam ucapan sebelum itu turut merakamkan penghargaan kepada KPKT atas kelulusan peruntukan RM24 juta bagi membangunkan semula Pasar Awam Bukit Mertajam yang telah dibina pada tahun 1970-an.
“Saya yakin pasar awam ini yang dikenali sebagai salah satu ikon di kawasan Bukit Mertajam akan diberi wajah baru, lebih kondusif dan selesa untuk peniaga serta pengguna.
“Oleh itu, saya ingin memohon kerjasama daripada setiap pihak khususnya para peniaga untuk mematuhi arahan pemindahan sementara agar kerja-kerja pembangunan semula ini dapat berjalan mengikut jadual ditetapkan.
“Selain itu, saya juga ingin memohon kepada pihak MBSP supaya memberikan bantuan yang diperlukan oleh penjaja, peniaga serta pengunjung pasar awam ini,” serunya.
Pada pertandingan ini, BETA Architects dinobatkan sebagai johan dan layak membawa pulang hadiah berjumlah RM35,000 berserta sijil penghargaan.
Naib johan pula menjadi milik BYG Architecture Sdn. Bhd. yang membawa pulang wang tunai RM25,000 manakala tempat ketiga milik KSEEK Architects Sdn. Bhd. (RM15,000).
Selain itu, sebanyak tujuh peserta diumumkan sebagai pemenang sagu hati yang mana masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM2,000 berserta sijil penghargaan.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambat : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS