Pembinaan semula Pasar Awam Seberang Jaya siap, jangka beroperasi Disember ini

Admin
img 20241028 wa0035

SEBERANG JAYA – Projek pembinaan semula bangunan pasar awam dan pusat penjaja Mukim 1, Seberang Jaya kini siap sepenuhnya dan dijangka mula beroperasi pada Disember ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa projek yang dimulakan sejak tahun 2019 tersebut dijangka memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada akhir Oktober ini.

“Kerajaan Negeri sememangnya memberikan perhatian terhadap projek ini tetapi berlaku sedikit kelewatan disebabkan beberapa faktor luar jangka seperti pandemik COVID-19 dan juga syarat tambahan yang perlu dipenuhi oleh pihak pemaju sebelum mendapatkan CCC.

“Setelah CCC diperoleh, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) memerlukan tempoh kira-kira sebulan untuk melakukan undian tapak bagi menempatkan 239 penjaja sedia ada di sini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak projek pembinaan pasar awam berkaitan di sini sebentar tadi.

img 20241028 wa0027img 20241028 wa0031img 20241028 wa0029img 20241028 wa0021img 20241028 wa0011img 20241028 wa0007

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Penolong Pengarah Jabatan Pelesenan MBSP, Sofian Shaari dan Pengarah Zubicon Development Sdn. Bhd., Lim Beng Keong.

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa pasar awam dan pusat penjaja tersebut dibangunkan di atas tanah milik Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) seluas 12.5 ekar membabitkan kos kira-kira RM19.5 juta.

“Kos pembangunan semula projek ini dibiayai sepenuhnya oleh pihak pemaju, Zubicon Development Sdn.Bhd. secara subsidi silang daripada keuntungan pemajuan perumahan dan komersial.

“Apabila beroperasi kelak, kompleks pasar awam serta pusat penjaja ini akan diserahkan kepada MBSP bagi tujuan pengurusan dan milikan,” katanya.

Beliau berkata, pasar awam dan pusat penjaja baharu berkenaan kini dilengkapi dengan 263 ruang niaga tidak termasuk lebih 200 tapak peniaga tidak berlesen serta 450 lot parkir kereta bagi kemudahan pengunjung.

“Memandangkan jumlah peniaga sedia ada hanya 239 orang, maka masih terdapat 24 lot ruang niaga masih belum disewa.

“Justeru, kita berharap agar projek ini menjadi satu kemudahan awam mampan yang dapat digunakan sebaiknya bagi memperkasakan lagi komuniti serta peniaga kecil dan sederhana di kawasan ini.

“Mungkin masih ada sedikit kekurangan, tetapi saya percaya perkara ini boleh diperbaiki selepas mendapat respons daripada para penjaja apabila mereka berpindah ke sini kelak,” ulasnya sambil menambah bahawa bangunan pasar awam berkenaan juga telah memperoleh sijil Indeks Bangunan Hijau (GBI).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI