Pembinaan stesen LRT Laluan Mutiara tidak libatkan mana-mana tapak projek perumahan

Admin
img 20250107 wa0014

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menafikan bahawa stesen Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara akan dibina di atas mana-mana tapak yang dikhaskan bagi projek perumahan kos rendah dan sederhana.

Sebaliknya, beliau berkata bahawa tanah di kawasan Sungai Pinang yang dimaksudkan tersebut adalah tanah milik Kerajaan Negeri yang diserahkan bagi tujuan pembinaan sebuah sekolah.

“Kerajaan Negeri telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dan memaklumkan bahawa sebuah stesen LRT dirancang untuk dibina di atas tanah tersebut.

“Susulan itu, tanah tersebut tidak lagi sesuai untuk pembangunan sebuah sekolah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan amanat pada Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam Pulau Pinang tahun 2025 dekat Dewan Sri Pinang di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; barisan Exco Kerajaan Negeri dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Zulkifli Long.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memaklumkan bahawa beberapa keputusan positif berjaya dicapai dalam mesyuarat antara Kerajaan Negeri dengan Kementerian Pengangkutan (MOT), Mass Rapid Transit Crop (MRTCorp) dan pihak-pihak terlibat yang berlangsung dekat Putrajaya, semalam.

“Mesyuarat berkenaan sebenarnya adalah mengikut tatakelola perolehan projek bagi Kerajaan Persekutuan.

“Mesyuarat berkenaan telah menerima pembentangan daripada pihak MRTCorp mengenai rundingan kontrak membabitkan SRS Consortium Sdn. Bhd. yang dijemput sebagai tender terpilih,” katanya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

Kon Yeow menyatakan bahawa majlis pecah tanah untuk Projek LRT Laluan Mutiara dijangka akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim pada 11 Januari ini.

“Pemilihan lokasi sebagai tapak bagi majlis pecah tanah adalah selepas mengambil kira kesesuaian, terutamanya dalam aspek logistik dan keselamatan,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri telah mengemukakan sebanyak 10 projek sebagai keutamaan dalam Rolling Plan Ke-5 (RP5), Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

“Sebanyak 10 projek keutamaan negeri ini bagi RP5 di bawah RMK-12 telah disenaraikan dalam Modul Wishlist Negeri Pulau Pinang di dalam Sistem MyProjek.

“Daripada 10 projek tersebut, dua projek telah ditolak, manakala lapan projek telah diterima untuk pertimbangan pihak Kementerian Ekonomi.

“Saya berharap agar projek-projek signifikan seperti projek pembinaan jalan, pembinaan struktur cegahan hakisan pantai, pembinaan klinik kesihatan serta lain-lain dapat diberikan perhatian kerana ia membawa kepentingan yang tersendiri,” katanya.

Lapan projek yang dimaksudkan adalah pembinaan jalan bawah untuk menghubungkan Jalan Mount Erskine ke Jalan Burma, pembinaan klinik kesihatan jenis 2 di Bayan Lepas, projek pemuliharaan Sungai Juru, projek pembinaan outfall dan struktur mencegah hakisan pantai Batu Feringghi dan Tanjung Bungah serta pembinaan struktur mencegah hakisan tantai di Pengkalan Nelayan Paramount.

Selain itu, turut diterima adalah projek menaik taraf jalan tunggal dua lorong kepada jalan berkembar empat lorong di laluan Persekutuan dari Bayan Lepas ke Teluk Kumbar, pembinaan Rumah Pam Lahar Yooi dan projek Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL 1).

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : DARWINA MOHD. DAUD