Pembinaan Underpass menghubungkan Jalan Mount Erskine ke Jalan Burma bakal kurangkan kesesakan lalu lintas

Admin

GEORGE TOWN – Pelaksaan projek pembinaan jalan bawah atau underpass yang menghubungkan Jalan Mount Erskine ke Jalan Burma bakal dimulakan pada tahun depan.

Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ir. Addnan Mohd. Razali mengumumkan perkara itu dalam satu sidang media dekat Komtar, sebentar tadi.

Jelas Addnan, Jalan Mount Erskine dan Jalan Burma merupakan jalan utama yang menghubungkan utara pulau ke pusat bandar, George Town.

“Pihak Majlis telah mengkaji semua cadangan untuk menambah baik aliran lalu lintas di persimpangan tersebut dan mendapati bahawa pembinaan underpass dapat membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas.

“Persimpangan ini menghubungkan empat jalan utama iaitu Jalan Burma, Jalan Gottlieb, Jalan Bagan Jermal dan Jalan Mount Erskine yang menampung kira-kira 50,000 buah kenderaan setiap hari.

“Pihak Majlis menjangkakan kos bagi projek adalah kira-kira RM30 juta tidak termasuk kos pengambilan tanah,” ujarnya lagi.

Tambah Addnan, skop kerja bagi projek berkenaan adalah melibatkan naik taraf infrastruktur di sekitar persimpangan meliputi kerja-kerja pembinaan jalan bawah, kerja-kerja tanah, pelebaran jalan, sistem perparitan dan kerja-kerja lain yang berkaitan.

Hadir sama pada sidang media tersebut, Timbalan Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBPP, Ir. Cheah Chin Kooi dan Jurutera Kanan Lalu Lintas dan Pengangkutan Awam, Zainuddin Mohamad Shariff.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS