Pembuangan sampah haram, PBT diarah ambil tindakan lebih tegas – Exco

Admin

GEORGE TOWN – Kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) telah diarah untuk mengambil tindakan lebih tegas terhadap pihak tidak bertanggungjawab melupuskan sampah haram di negeri ini.

 

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata melalui arahan terbaharu tersebut juga, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) turut diminta untuk mempertimbangkan tindakan mahkamah terhadap mereka yang ingkar.

 

“Saya telah mengarahkan mereka (PBT) untuk lebih bersikap tegas di dalam isu pelupusan sampah haram…ini termasuk pelbagai sampah (yang dibuang) bukan sahaja pembuangan plastik.

 

“Malah, MBPP dan MPSP diminta untuk mempertimbangkan agar tindakan mahkamah diambil terhadap mereka yang ingkar atau terlibat dengan kegiatan salah ini.

 

“Dengan tindakan tegas sahaja, ia boleh menjadi pengajaran kepada pihak lain agar tidak mengulanginya pada masa hadapan,” ujarnya kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Bersama (MoU) di antara MBPP dan IBM Malaysia bagi menyediakan perkhidmatan yang lebih efisien kepada warga Pulau Pinang.

 

Hadir sama Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang dan Direktor IBM Malaysia, Catherine Lian.

 

Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Jagdeep yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat berkata, bagi memastikan isu tersebut benar-benar ditangani, pemantauan terhadap kenderaan yang membawa muatan sampah haram ini juga perlu diperhatikan dan dipantau.

 

“Pemantauan ini sangat penting, dengan cara ini saja kita boleh tahu ke manakah mereka membawa dan membuang sampah-sampah haram ini,” ujarnya lanjut.