Pembukaan pasar malam patuh SOP perlu disegerakan – Exco

Admin

BATU MAUNG – Pihak berkepentingan dalam penganjuran pasar malam sekitar kawasan pulau digesa lebih agresif dalam mengoperasikan tapak pasar malam mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

 

Menurut Exco Perdagangan Antarabangsa & Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain, langkah tersebut perlu disegerakan memandangkan sejak 15 sehingga 22 Jun cuma tiga pasar malam di pulau beroperasi.

 

“Kita kasihankan peniaga yang sudah tidak menjalankan perniagaan selama tiga bulan, ini adalah punca pendapatan mereka.

 

“Penganjur perlulah berbincang dengan pihak berkuasa temptan (PBT) dan peniaga supaya pembukaan pasar malam ikut SOP dapat disegerakan.

 

“Dalam keghairahan itu kita perlu pastikan juga keselamatan kerana pengunjung yang nak datang dia akan nilai SOP keselamatan yang disediakan,” ujar Abdul Halim ketika meninjau pengoperasian semula pasar malam Bukit Gedung baru-baru ini.

 

Difahamkan pasar malam pertama dibuka bagi kawasan pulau adalah di Teluk Bahang pada 15 Jun dan diikuti pasar malam Sungai Batu pada 18 Jun lepas kerana melakukan persediaan awal.

 

Bagi kawasan Seberang Perai, Abdul Halim memaklumkan, banyak pasar malam kini sudah beroperasi semula.

 

Mengulas lanjut, Abdul Halim menyatakan perkara tersebut tidak mahu lagi dilengahkan kerana peniaga sudah hilang pendapatan lebih dari tiga bulan.

 

“Justeru, untuk buka semula pasar malam, bab keselamatan kita juga perlu pastikan tiada kompromi.

 

“Pengunjung harus rasa selamat dengan kepatuhan SOP seperti penyediaan pensanitasi tangan, pemakaian pelitup muka dan amalan penjarakan sosial, baru ada pelanggan dan ini adalah situasi menang-menang,” tegasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : CHAN KOK KUAN