Pembukaan semula masjid Hagia Sophia umpama Erdogan ‘Khaira Ummah’ contoh, komen Ahmad Zakiyuddin

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman menyampaikan ucapan perasmian sempena majlis pelancaran siri kedua Jelajah Khaira Ummah 2020 (JKU2020) di Masjid Jamek Sungai Lokan di sini pada 19 September 2020.

SUNGAI DUA – Kejayaaan pentadbiran Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan pada bulan Julai lepas menukar kembali bangunan muzium bersejarah Hagia Sophia kepada fungsi asal iaitu masjid, diharap akan terus menyuntik kesedaran semua pihak untuk memartabatkan lagi agenda Islam dan umat di Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pelancaran siri kedua Jelajah Khaira Ummah 2030 (JKU2030) di Masjid Jamek Sungai Lokan di sini pada 19 September 2020.

Recep Tayyip Erdogan
LAWATAN sulung Recep Tayyip Erdogan (enam dari kiri) ke Hagia Sophia selepas bangunan warisan dunia UNESCO itu diumumkan kembali pada fungsi asal sebagai masjid, sebelum diadakan solat Jumaat pertama semasa bulan Julai lepas di negara Turki. | Gambar: Internet

“Pembukaan semula Hagia Sophia sebagai masjid adalah contoh perancangan baik yang dibuat oleh Presiden Erdogan mengajar kita bahawa untuk mencapai satu-satu cita-cita, dari segi pelaksanaannya dan semangatnya serta wawasannya mesti jelas untuk dicapai.

“Jadi, melalui Jelajah Khaira Ummah 2030 ini, kaedah kita (Kerajaan Negeri) untuk menyampaikan perancangan (berkaitan) bagaimana orang Islam di Pulau Pinang boleh membangunkan ‘khairah ummah’ ataupun umat yang terbaik,” jelasnya.

Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Koperasi dan Pemerkasaan Komuniti memaklumkan bahawa Khaira Ummah 2030 adalah merupakan wawasan pembangunan jangka panjang umat Islam selama sedekad hingga tahun 2030, selari dengan visi Penang2030 yang digagaskan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.

Menurutnya lagi, melalui JKU2030, pihaknya akan memberi tumpuan terhadap dua agenda utama iaitu mengimarahkan masjid sebagai pusat pembentukan umat terbaik atau ‘Khaira Ummah’, serta mereformasi pendidikan berkaitan umat Islam melalui Kolej Islam Antarabangsa Pulau Pinang (KITAB).

ADUN Sungai Dua, Mohamad Yusoff Mohd. Nor (kiri) yang juga Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang turut sertai acara JKU2030 di sini.
IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (dua dari kiri) turut menyerahkan cek replika RM15,000 kepada Fadzil Ibrahim (tiga dari kiri) di sini.

Turut berucap, Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Sungai Lokan, Mejar (B) Fadzil Ibrahim yang berpandangan bahawa JKU2030 merupakan program yang ditunggu-tunggu oleh jawatankuasa kariah masjid.

“Semoga dapat memberi kita semangat baharu untuk memartabatkan agenda Islam dan ekonomi umat termasuk orang-orang Melayu,” katanya.

AHLI kariah yang mengikuti JKU2030 di dewan solat utama kelihatan kekal dalam kedudukan penjarakan fizikal antara satu sama lain serta masing-masing lengkap memakai pelitup mulut.
AHMAD Azam Abdul Rahman

Meneruskan acara selepas itu, Penolong Setiausaha Agung Union of NGOs of Islamic World (UNIW), Ahmad Azam Abdul Rahman turut menyampaikan pidato mengenai perkembangan terbaru politik negara Turki yang diterajui oleh Erdogan.

“Hagia Sophia bukan sahaja berfungsi sebagai masjid tempat umat Islam menunaikan solat secara berjemaah, bahkan, simbol kehilangan Khilafah Islam sejak tahun 1924.

“Sekarang tahun 2020, empat tahun lagi pada tahun 2024 adalah genap 100 tahun menyaksikan Hagia Sophia kembali dibuka sebagai masjid.

“Kejayaan ini adalah kejayaan pentadbiran Erdogan secara khususnya dan Khaira Ummah (umat terbaik) secara umumnya.

“Mengambil ‘ibrah (pengajaran) daripada pembukaan semula Hagia Sophia ini, saya komited untuk mengambil bahagian menyertai JKU2030 dari satu masjid ke satu masjid untuk meniup kesedaran beragama di kalangan umat di Pulau Pinang ini,” ujarnya sambil memuji inisiatif program yang dianjurkan oleh Ahmad Zakiyuddin ini.

IR. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (kanan sekali) ketika melawat gerai pameran Wakaf Pulau Pinang di balai Masjid Jamek Sungai Lokan di sini pada 19 September 2020.

Dalam pada itu, menjelang Maghrib, Ahmad Zakiyuddin turut meluangkan masa melawat gerai-gerai pameran awam melibatkan agensi-agensi negeri berkaitan Islam seperti KITAB, Zakat Pulau Pinang (ZPP), Wakaf Pulau Pinang, Jabatan Mufti Negeri dan sebagainya di sini.

Teks & Gambar : ZAINULFAQAR YAACOB