Pembukaan semula Penang Mutiara Beach Resort simbol keyakinan pelabur – Exco

Admin

 

GEORGE TOWN – Cadangan pembukaan semula Penang Mutiara Beach Resort dekat Teluk Bahang pada tahun 2025 nanti dengan melibatkan pelabur dari IHG Hotels & Resorts (IHG) iaitu sebuah firma yang memiliki rangkaian hotel mewah terbesar dunia, sekali gus melambangkan keyakinan terhadap industri pelancongan negeri Pulau Pinang.

Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin memberitahu bahawa baru-baru ini telahpun memeterai perjanjian dengan pemilik Tradewinds Corporation Berhad selaku pemilik premis Penang Mutiara Beach Resort tersebut.

“Ini, melambangkan keyakinan dan kepercayaan pelabur kembali pada industri pelancongan setelah hampir dua tahun kita (Pulau Pinang) turut diselubungi kesan pandemik (COVID-19).

“(Usahasama untuk membuka semula Penang Mutiara Beach Resort dekat Teluk Bahang ini sekali gus) menunjukkan Pulau Pinang mempunyai daya tahan untuk kemampanan pelancongan di samping berkeupayaan untul bangkit semula dengan lebih baik serta berkembang maju,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong dalam sidang media berkaitan di Komtar pada 22 Jun 2022.

Pengerusi Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Cawangan Pulau Pinang, Tony Goh; Pengerusi Pemilik Hotel Pulau Pinang (PHA), Dato’ Lim Mer Lee; wakil Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia Cawangan Pulau Pinang, Andy Lau turut sertai sidang media ringkas tersebut.

Ditutup selama kira-kira 16 tahun sejak 27 Mac 2006 untuk kerja-kerja pengubahsuaian, difahamkan, Penang Mutiara Beach Resort yang pernah menjadi topik perbincangan komuniti lokal pada suatu ketika dahulu, dan kini mungkin membawa sinar kegembiraan kepada penduduk lokal terutama sekitar Teluk Bahang apabila dibuka kembali kelak.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN