WAJARKAH sesi persekolahan dibuka sedangkan penularan pandemik COVID-19 dalam negara semakin membimbangkan hingga mencecah lima angka sejak beberapa hari ini.
Atau adakah sesi persekolahan yang dijangka dibuka pada awal September ini sepertimana pengumuman Menteri Kanan Pendidikan perlu diteliti dan dikaji semula.
Bagi NUR ELIANI AHMAD GHAZALI, sesi persekolahan tidak patut dibuka lagi pada masa ini kerana kesihatan dan nyawa anak-anak lebih diutamakan.
“Sebagai ibu bapa sememangnya risau jika anak-anak perlu ke sekolah memandangkan anak-anak saya pun tidak berapa sihat cepat diserang sakit.
“Sebagai ibu bapa, kita cuba berikan komitmen yang terbaik buat anak-anak sepanjang mereka mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) walaupun kadang kala timbul masalah untuk memahami pelajaran dengan jelas, asalkan anak-anak tidak ketinggalan di dalam pelajaran bagi saya memadai,” ujarnya yang mempunyai dua orang anak masing-masingnya di tahun empat dan tahun dua.
Berbeza pendapat bagi ibu muda yang mempunyai tiga cahayamata, NOORFAZLINDA JAMIL.
Beliau merasakan, sesi persekolahan secara langsung adalah yang terbaik memandangkan sukatan pelajaran kini yang agak berbeza menyukarkan ibu bapa untuk membantu pelajar di dalam pelajaran masing-masing.
“Agak sukar untuk saya mengajar mereka seusai sahaj kelas PdPR tamat memandangkan sukatan amat berbeza dengan sistem pembelajaran kita dahulu.
“Justeru, saya rasa kehadiran ke sekolah adalah cara terbaik untuk anak-anak yang telah banyak ketinggalan pelajaran,” ujarnya yang merupakan surirumah sepenuh masa.
Manakala, bagi R. BHAVANY meskipun beliau bersetuju untuk sesi persekolahan diteruskan sepertimana yang diumumkan, namun perlu dipastikan terlebih dahulu kes harian adalah rendah.
“Ini penting demi keselamatan anak-anak. Kerajaan Persekutuan seharusnya mempercepatkan proses vaksinasi kepada rakyat dan mengimplementasikan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat sebelum sesi persekolahan dibenarkan dibuka semula,” ujar beliau sambil berkata bahawa pihak berkuasa dan masyarakat umum perlu memainkan peranan masing-masing.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING