Pembukaan semula sekolah secara berperingkat, umum zahirkan pelbagai reaksi

Pengarah filem, Al Jafree Md Yusop anggap pengumuman buka sekolah mulai 1 Mac 2021 'tak masuk akal'.

GEORGE TOWN – Menteri Kanan Pendidikan pada 19 Februari lepas membuat pengumuman bahawa sekolah rendah dan menengah, kolej vokasional, sekolah antarabangsa serta institusi pendidikan swasta (IPS) kategori pusat yang tidak menawarkan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) serta peperiksaan umum masing-masing akan dibuka secara berperingkat mulai 1 Mac ini.

Pengumuman itu dibuat semasa ibu bapa dan guru-guru sedang berusaha menyesuaikan diri dengan kaedah Pengajaran Dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) yang dilancarkan sendiri oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 20 Januari 2021.

Pada tengah hari ini, Buletin Mutiara cuba mendapatkan maklum balas pelbagai pihak berhubung keputusan terbaru yang diputuskan oleh Kerajaan Persekutuan itu.

AL JAFREE Md Yusop

Bagi penulis skrip dan pengarah filem terkenal ‘Mencari Rahmat’, AL JAFREE MD YUSOP, 55, berpendapat bahawa pengumuman tersebut adalah tidak rasional.

Beliau berpandangan bahawa pengumuman yang dibuat baru-baru ini semacam tidak selari dengan keputusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“MKN memutuskan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) di empat negeri iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan negeri ini (Pulau Pinang) dilanjutkan sehingga 4 Mac 2021.

“Namun, Menteri boleh mengumumkan sekolah rendah untuk pelajar prasekolah, Tahun Satu dan Dua di sekolah rendah seluruh negara dibuka mulai 1 Mac 2021.

“Kes harian positif COVID-19 sehingga semalam (21 Februari 2021) pun 3,297 kes, dan pengumuman sekolah dibuka pada 1 Mac nanti adalah tiga hari lebih awal sebelum tempoh PKP habis (pada 4 Mac 2021).

“Kalau soal keselamatan menjadi perkara paling utama di sisi MKN, saya kira pengumuman Menteri itu adalah tak masuk akal, nampak sangat tak rasional,” jelasnya semasa dihubungi oleh wartawan ZAINULFAQAR YAACOB di sini pada 22 Februari 2021.

Mengulas lanjut, Al Jafree memberitahu bahawa ramai pihak mungkin akan keliru mengenai hala tuju pendidikan yang dirangka kini.

“Mengenai PdPR, bagi keluarga kebanyakan seperti saya sendiri mengambil masa yang lama juga untuk menyesuaikan diri dengan ‘sistem belajar dari rumah’ ini.

“Takkan nak serahkan telefon pintar saya kepada anak sepanjang hari, maka perlu dibeli tablet untuk anak-anak.

“Di samping itu, secara jujur sebagai seorang bapa yang sayangkan kedua-dua anak saya, mungkin akan ‘tunggu dan lihat’ dulu,” jelasnya lagi.

Pada hari ini, Kerajaan Persekutuan dilaporkan akan mempertimbangkan untuk memberi vaksin Pfizer – BioNTech fasa pertama kepada kelompok guru paling berisiko.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dilaporkan berkata, pihaknya akan membincangkan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) susulan banyak permohonan diterima daripada guru untuk mendapatkan vaksin tersebut.

MOHD. Zamirul Mohd. Dzaki

Bagi seorang pensyarah di sebuah universiti swasta, MOHD. ZAMIRUL MOHD. DZAKI, 35, yang dihubungi sebentar tadi memberitahu bahawa Kerajaan Persekutuan sepatutnya melaksanakan program vaksinisasi berwajib terlebih dahulu kepada kelompok guru paling berisiko sebelum membuka sesi persekolahan secara fizikal.

“Keputusan kerajaan nampak berubah-ubah, sekejap nak melaksanakan PdPR, kemudian tiba-tiba umum sekolah mula dibuka bermula pada 1 Mac.

“Tanpa kelompok guru paling berisiko menerima vaksin terlebih dahulu, bagaimana…itu belum ambil kira lagi saranan supaya pelajar-pelajar juga wajar menjalani program vaksinisasi berwajib terlebih dahulu sebelum kembali ke sesi persekolahan secara bersemuka,” responsnya lagi.

Seorang lagi responden, yang merupakan seorang guru sekolah rendah di Pulau Pinang memberitahu bahawa langkah Menteri Kanan Pendidikan mengumumkan sesi persekolahan secara bersemuka dibuka bermula pada 1 Mac 2021 tanpa mengambil pendapat pelbagai pihak berkepentingan akan menambahkan lagi amarah orang awam.

“Di media sosial dan akhbar online tertentu baru-baru ini ada dilaporkan ada ibu bapa daripada keluarga B40 (golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus paling rendah) sampai terpaksa meminjam ‘ah long’ untuk beli gajet PdPR.

“Tiba-tiba umum sesi persekolahan secara bersemula akan bermula pada 1 Mac, maka, saya tidak fikir pengumuman tersebut akan mengundang pujian daripada ibu bapa yang terpaksa pinjam ‘ah long’ untuk membeli komputer riba dan sebagainya,” jelas beliau yang tidak mahu identitinya diketahui umum.

MAHAZAN Issa

Bagi MAHAZAN ISSA, 43, yang merupakan seorang penyelia, beliau berharap KPM melonggarkan syarat wajib memakai pakaian seragam ke sekolah.

“Pihak kerajaan dan kementerian pertimbangkan (untuk) memberikan kebenaran kepada semua pelajar memakai pakaian bebas yang bersesuaian selain seragam ke sekolah.

“Pada saya, ini penting bagi meringankan beban para ibu bapa yang rasanya sudah mula membilang jari masing-masing bagi pembelian pakaian sekolah.

“Bukan berniat untuk melanggar apa-apa syarat atau sengaja mereka-reka tuntutan tetapi dalam situasi hari ini, dengan membenarkan pakaian bebas kepada pelajar untuk ke sekolah adalah satu bantuan yang amat besar khususnya kepada ibu bapa,” katanya yang tinggal di Tasek Gelugor.