Pembukaan taman rekreasi, pengunjung diseru patuhi SOP

Admin

KEBUN BUNGA – Taman Bandaraya atau dikenali juga sebagai Taman Belia dan Taman Botani menjadi antara lokasi rekreasi awam yang dibuka semula pada hari ini (6 Jun 2020) untuk kegunaan orang awam secara ‘bersyarat’.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika mengadakan lawatan ke dua taman tersebut menyambut baik pembukaan semula itu terutamanya bagi memudahkan orang ramai melakukan aktiviti riadah secara selamat.

“Sebagai usaha bersama memutuskan rantaian perebakan  wabak pandemik COVID-19, orang ramai harus terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Kesihatan dan keselamatan orang ramai tetap manjadi keutamaan Kerajaan Negeri terutamanya dalam terus mengekalkan status Pulau Pinang sebagai negeri Hijau,” ujarnya di sini awal pagi tadi.

 

Hadir sama, Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kebun Bunga, Jason Ong Khan Lee; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Wong Hon Wai dan Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang.

Antara kawasan rekreasi dan riadah lain di bawah seliaan MBPP dan Kerajaan Negeri yang dibuka semula secara bersyarat mulai hari ini termasuk kawasan mendaki Bukit Jambul, Taman Metropolitan Relau, laluan warisan mendaki ke Bukit Bendera dan laluan jip ke Bukit Bendera untuk pejalan kaki.

Pengoperasian kawasan berkaitan adalah bermula dari jam 7 pagi hingga 7 petang.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota menyambut baik Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan Perdana Menteri semalam.

Menurut beliau, sebagai Kerajaan Negeri, pihaknya senantiasa menantikan pengumuman perkara-perkara penting oleh Kerajaan Pusat.

“Apa yang penting sekarang adalah kebenaran semula kepada rakyat untuk kembali mengoperasikan sektor perniagaan agar dapat menjana pendapatan.

“Umumnya, bantuan-bantuan yang diumumkan kerajaan tetap mempunyai had tertentu untuk membantu rakyat.

“Dengan kebenaran pengoperasian semula sektor perniagaan, maka pendapatan rakyat juga dapat dipulihkan,” ulasnya yang juga Ahli Parlimen Tanjong.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : ALVIE CHENG

Video : LAW SUUN TING