GEORGE TOWN – Senarai 11 pemenang bagi dua pertandingan yang dianjurkan oleh sidang redaksi Buletin Mutiara dimuktamadkan pagi ini.
Dua pertandingan tersebut adalah Bakat Si Cilik Mewarna dan pertandingan melukis poster bertemakan Seni Bina di Pulau Pinang.
Pemilihan akhir para pemenang bagi semua kategori tersebut disempurnakan oleh barisan juri yang terdiri daripada Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN), Junaidah Jamil dan Ahli-ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Victor Ng Wai Leong dan V. A. Ponnudurai.
Bercakap kepada Buletin Mutiara, Junaidah menyambut baik usaha yang dilakukan oleh sidang redaksi Buletin Mutiara kerana dapat mencungkil kemahiran serta melahirkan generasi yang kreatif para peserta melalui pelbagai kategori.
“Saya percaya Buletin Mutiara merupakan medium yang terbaik bagi menggalakkan penyertaan bukan sahaja kanak-kanak, malahan juga peringkat dewasa dalam menghasilkan karya seni yang boleh menonjolkan identiti anak tempatan kita.
“Sejujurnya, sebagai seorang yang meminati bidang seni, saya amat teruja melihat hasil karya peserta sehingga tidak percaya pada usia begitu muda boleh mempersembahkan karya yang sangat mengagumkan.
“Justeru, adalah diharapkan daya kreativiti (mereka) tidak hanya terhenti di sini, mungkin boleh perluaskan lagi dengan penglibatan ke peringkat seterusnya seperti melukis mural dan mereka bentuk setem,” jelasnya lanjut.
Sementara itu, Ponnudurai turut memuji usaha anak tempatan dalam menterjemahkan idea yang inovatif serta keupayaan berfikir di luar kotak.
“Jika dilihat melalui peraduan mewarna dan melukis yang dianjurkan, bagi peraduan (mewarna) semua peserta boleh mewarna, tetapi bagi melukis peserta perlu memerah idea sendiri mengikut tema yang ditetapkan.
“Bukan itu sahaja, peserta bagi peraduan melukis juga dilihat begitu peka dengan isu semasa di Pulau Pinang kerana turut memasukkan elemen seperti beras cap feri, projek pembinaan Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang dan banyak lagi.
“Oleh itu, saya berharap agar peserta yang berdaya kreatif seperti yang dilihat hari ini dapat dikumpulkan ke satu peringkat seterusnya bagi melihat sendiri mereka menghasilkan karya seni secara langsung,” cadangnya.
Pada sesi yang sama, Wai Leong turut mencadangkan agar hebahan mengenai peraduan yang dianjurkan ini dapat diperluas ke sekolah-sekolah di serata negeri.
“Melalui pemerhatian saya, kanak-kanak juga mahukan platform sebegini untuk menonjolkan karya masing-masing dan usaha ini wajar diberikan tumpuan supaya mereka memperoleh manfaat yang baik dari penyertaan peraduan seperti ini.
“Mungkin selepas ini boleh menganjurkan peraduan bertemakan ‘street view’ pula bagi menampakkan karya yang lebih realisitik dan hidup,” ujarnya.
Sebagai makluman, pertandingan melukis poster menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM700 kepada johan, RM500 (kedua) dan RM300 (ketiga). Manakala untuk pertandingan video pula, hadiah wang tunai RM1,000 ditawarkan kepada pemenang. Bagi pertandingan Bakat Si CIlik Mewarna tidak kurang hebatnya, hadiah sebanyak RM500 (johan), RM300 (naib johan), RM200 (tempat ketiga) berserta lima hadiah saguhati bernilai RM50.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI