Pemenang peraduan Buletin Mutiara Edisi 4/2023 dimuktamadkan, harap perluaskan hebahan ke sekolah

Admin
dsc 4448

GEORGE TOWN – Senarai para pemenang bagi empat peraduan termasuk satu secara dalam talian anjuran Sidang Redaksi Buletin Mutiara Edisi 4/2023 telah dimuktamadkan baru-baru ini.

 

Proses pemilihan akhir disempurnakan oleh tiga juri iaitu Ahli Dewan Negara, Senator Dr. R.A. Lingeshwaran; Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen dan Pembantu Tadbir Kanan Bahagian Pengurusan Majlis Dan Protokol, Mohd. Fadzli Ahmad.

 

Tiga pertandingan yang dianjurkan pada kali ini adalah Bakat Si Cilik Mewarna dan Pertandingan Melukis Poster bertemakan Budaya Dirai Makanan Dikongsi serta Pertandingan Video bertemakan  Vlog Makan-makan di Penang secara dalam talian.

dsc 4456
SENATOR Dr. R.A. Lingeshwaran.

Bercakap kepada Buletin Mutiara, Lingeshwaran menyambut baik usaha yang dilaksanakan oleh sidang redaksi Buletin Mutiara.

 

“Diharapkan sidang redaksi Buletin Mutiara akan terus menganjurkan pelbagai pertandingan dan menjalankan lebih banyak aktiviti menarik bagi menghargai bakat kanak-kanak.

 

“Kanak-kanak juga mahukan platform sebegini untuk menonjolkan karya masing-masing dan usaha ini wajar diberikan tumpuan supaya mereka memperoleh manfaat yang baik dari penyertaan peraduan seperti ini,” jelasnya.

 

Beliau turut mencadangkan agar hebahan mengenai peraduan yang dianjurkan ini dapat diperluaskan ke sekolah-sekolah di serata negeri.

dsc 4462
DANIEL Gooi Zi Sen.

Sementara itu, Zi Sen juga memuji usaha mempromosikan dasar-dasar Kerajaan Negeri melalui peraduan yang dianjurkan dan berharap penyertaan akan lebih meluas.

 

“Saya amat kagum dengan karya yang ditonjolkan oleh bakat-bakat unik peserta sehinggakan agak sukar untuk memilih pemenang.

 

“Usaha sebegini wajar diteruskan lagi dan mengetengahkan konsep negara kita yang kaya dengan kepelbagaian budaya.

 

“Saya begitu teruja melihat hasil karya bukan sahaja dari Pulau Pinang, malahan juga melibatkan negeri Terengganu, Selangor, Perak, Negeri Sembilan dan banyak lagi,” ujarnya sambil memuji pengikut Buletin Mutiara berjaya meliputi banyak negeri.

dsc 4471
MOHD. Fadzli Ahmad.

Pada sesi yang sama, Mohd. Fadzli turut mencadangkan supaya memperbanyak lagi penganjuran acara fizikal seperti Hari Buletin yang mampu menarik penglibatan rakyat.

 

“Penganjuran Hari Buletin menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan, oleh itu diharapkan pihak penganjur boleh menganjurkan lebih banyak acara fizikal.

 

“Sukar juga tugas kami sebagai panel untuk memilih pemenang, diharapkan juga peserta tidak putus asa untuk mengembangkan lagi daya kreativiti,” tambahnya sambil memuji peraduan berkenaan yang berjaya menarik penyertaan ramai dengan menampilkan pelbagai elemen kreativiti.

dsc 4485
PANEL juri bergambar kenang-kenangan menerima cenderahati dari pihak penganjur.

Sebagai makluman, pertandingan melukis poster menawarkan hadiah wang tunai sebanyak  RM700 kepada johan, RM500 (kedua), dan RM300 (ketiga). Manakala untuk pertandingan video pula, hadiah wang tunai RM1,000 ditawarkan kepada pemenang. Begitu juga Bakat Si CIlik Mewarna tidak kurang hebatnya dengan hadiah sebanyak RM500 (johan), RM300 (naib johan), RM200 (tempat ketiga) berserta lima hadiah saguhati bernilai RM50.

 

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL

Gambar : LAW SUUN TING